INDUSTRI

PROTON TANJONG MALIM TINGKATKAT EKSPORT, KINI PASANG MODEL GEELY RHD & LHD

20 Oct 2026
PROTON TANJONG MALIM TINGKATKAT EKSPORT, KINI PASANG MODEL GEELY RHD & LHD
1 / 6

Ketika mengumumkan prestasi jualan bulan September 2026, Proton telahpun dedah jumlah kenderaan yang dieksport keluar Malaysia untuk sembilan bulan tahun ini telah mencapai 7,370 unit. Jumlah tersebut telahpun mengatasi jumlah eksport keseluruhan tahun lalu (2025) di mana Proton berjaya mengeksport 6,000 unit kenderaan.

Proton juga tambah selepas memindahkan semua 1,400 pekerjanya dari kilang Shah Alam yang ditutup ke Tanjong Malim tahun lalu, bahagian R&D dan Kejuruteraan telah dipindahkan ke Tanjong Malim juga. Operasi dua-dua bahagian tersebut kini lebih baik di mana usaha pembangunan dan pengeluaran oleh Proton di Malaysia kini difokuskan di satu lokasi.

Proton telahpun mengesahkan sebelum ini peningkatan eksport tersebut didorong pemasangan model-model Geely di kilangnya di Tanjong Malim, Perak. Dalam kenyataan terbaharunya, Proton juga memperincikan bahawa ia bukan sahaja giat memasang model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) seperti yang dirancang sebelum ini, malah ia kini turut memasang model-model pemanduan sebelah kiri (LHD).

Antara model yang sedang dipasang tersebut termasuk Geely Coolray – kembar pada Proton X50 – versi LHD dan Geely Okavango facelift – kembar Proton X90 – versi LHD. Selain itu, model lain seperti Geely Emgrand (kembar Proton S70) dan model elektrik seperti Geely EX2 (kembar Proton e.MAS 5) turut dilihat dibawa keluar dari Tanjong Malim menuju ke pelabuhan untuk dieksport.

Bagi model Geely Coolray, versi RHD yang dikeluarkan dari Tanjong Malim juga telah dieksport ke Indonesia baru-baru ini. Khusus untuk republik seberang dari Selat Melaka tersebut, spesifikasi dan rupanya sama dengan Geely Coolray pasaran Afrika Selatan yang juga dipasang Proton di Tanjong Malim.

Justeru, Proton juga menyatakan mereka kini bukan sekadar hab pengeluaran pasaran RHD, tetapi mereka kini giat sebagai “hab pengeluaran antarabangsa.” Operasi memasang model-model Geely ini bukan sahaja dapat membesarkan skala produksinya, ia turut meningkatkan kepakaran pembuatannya.

Ini kerana unit-unit eksport tersebut perlu memenuhi spesifikasi pasaran dengan keperluan kawal selia yang berbeza, serta jangkaan pelanggan.- faktor-faktor yang mewajibkan operasi pengeluaran yang ketat, jaminan kualiti yang konsisten, dan penyelarasan rapat antara fungsi kejuruteraan, pembuatan dan rantaian bekalan.

“Aspirasi kami adalah untuk meningkatkan daya saing Proton melalui produk yang lebih kukuh, keupayaan pembuatan yang lebih tinggi serta kehadiran antarabangsa yang lebih meluas. Perluasan peranan kami sebagai hab pengeluaran antarabangsa membolehkan kami mengoptimumkan pelaburan yang telah dibuat di Tanjong Malim pada skala yang lebih besar,” ulas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa.

Setakat ini, Proton berkata kilangnya di Tanjong Malim mempunyai kemudahan untuk proses pengecapan (stamping), pemasangan badan, pengecatan, trim dan pemasangan akhir (final assembly). Secara keseluruhan kilang tersebut mampu menghasil sehingga 250,000 unit kenderaan setahun.

Bukan itu sahaja, malah Proton Tanjong Malim juga mempunyai kilang penghasilan unit rangkaian kuasa (Advanced Powertrain Hub) yang memasang enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam beberapa varian enjin seperti Turbo GDI dan NA PFI serta transimisi DCT.

Ia turut disokong dengan kebolehan menghasil unit rangkaian kuasa tenaga baharu (NEV) khusus untuk model kenderaan elektrik (EV), hibrid (HEV), dan plug-in hybrid (PHEV). Ini termasuk enjin khas untuk sistem HEV dan PHEV yang dikenali sebagai Dedicated Hybrid Engine (DHE), serta penyelesaian elektrifikasi seperti transmisi khusus hibrid (dedicated hybrid transmission – DHT) dan motor elektrik (electric drive unit -EDU).

Bagi model-model tertentu yang lain, ia turut disokong dengan bekalan kotak gear CVT keluaran Punch melalui kilang yang di bina berhampiran dan masih di dalam kawasan Automotive High Tech Valley (AHTV) Tanjong Malim.

Dengan ini, Proton juga telah mengesahkan sebuah hab logistik baharu berskala besar juga telah siap di AHTV. Apabila operasinya mula, aset ini bakal meningkatkan lagi kecekapan proses pembuatan kilang tersebut.

Akhir sekali, Proton bakal memperluaskan lagi aktiviti R&D melalui kerjasama dengan Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii). Hasil kerjasama ini akan memberi manfaat kepada jenama serta ekosistem automotif negara, tambah Proton lagi.

Kembali ke lamanTekan Habis