TQ WULING PORTA EV TIBA – 2 VARIAN CKD, MULA DARI RM99,800*
Jenama TQ Wuling bawah naungan Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) telah rasmi perkenalkan TQ Wuling Porta EV – sebuah panel van komersial elektrik penuh – untuk pasaran tempatan.
Dua varian dilancarkan awal hari ini di Glenmarie, Shah Alam, khususnya varian jarak gerak 300KM (CLTC) dan 400KM (CLTC). Untuk varian 300KM, ia ditawarkan pada harga anggaran bermula dari RM99,800 di Semenanjung Malaysia dan dari RM102,800 di Malaysia Timur.
Hanya harga jualan rasmi bagi varian 400KM diumumkan semasa pelancaran tersebut, dan ia ditawarkan pada RM105,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM108,800 (Malaysia Timur).
Termasuk dalam harga tertera adalah jaminan waranti kenderaan asas selama 5-tahun atau 120,000KM, jaminan motor pacuan, bateri EV dan sistem pengurusan bateri (BMS) selama 5-tahun atau 200,000KM, serta jaminan sel bateri 6-tahun atau 300,000KM.
Dua-dua varian dipasang secara tempatan (CKD) oleh TCMH di kilangnya yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur (Tan Chong Motor Assemblies - TCMA).
Dua-dua varian Porta EV ini dilengkapi motor elektrik jenis silicon-carbide (SiC) berkecekapan tinggi yang menjana 75kW (102PS) dan 180Nm. Motor tersebut dikuasai pek bateri LFP 41.9kWj bagi varian 300KM dan pek bateri 56.2kWj bagi varian 400KM.
Bagi waktu pengecasan pula, TQ Wuling berkata pengecasan pantas DC 30-80% hanya perlu 20 minit pbagi varian 400KM, manakala pengecasan sama hanya perlukan 30 miit bagi varian 300KM.
Beralih ke ciri-ciri penting van komersial ini, ia menawarkan muatan maksimum sehingga 1,105KG (varian 400KM), pintu gelangsar sisi berkembar selebar 777MM, pintu belakang jenis ‘barn door’ dengan kadar bukaan seluas 270-darjah, serta tinggi ruang muatan 595MM.
Di dalam kabin pula, panel van EV komersial ini dilengkapi ciri-ciri asas seperti paparan meter digital TFT 3.5-inci, tempat duduk boleh laras 4-arah, sistem penyaman udara dengan fungsi pelarasan automatik, serta unit infotainmen 8-inci dengan sokongan sambungan Bluetooth dan USB.
Sorotan kelengkapan keselamatan merangkumi dua beg udara hadapan, sistem brek ABS bersama EBD, kawalan kestabilan (ESC) dan cengkaman (Traction Control), bantuan mendaki (Hill Start Assist), sistem amaran pejalan kaki kelajuan rendah, kamera dan sensor parkir undur, serta sistem anti-kecurian.
Penting sekali, TQ Wuling Porta EV ini menjanjikan penjimatan hampir 65% berbanding van komersial diesel konvensional. Ini kerana servis berkala hanya diperlukan setiap enam bulan atau 10,000KM , serta kos penyelenggaraan kurang daripada RM2,000 dalam tempoh 5-tahun.
Akhir sekali, perkhidmatan selepas jualan disediakan melalui rangkaian Tan Chong Ekspress Auto Servis (TCEAS), dengan sejumlah 28 pusat servis di seluruh negara yang telah menerima latihan penyelenggaraan kenderaan TQ Wuling.
















