INDUSTRI

BYD & DENZA RASMI BUKA CAWANGAN BAHARU

26 Oct 2026
BYD & DENZA RASMI BUKA CAWANGAN BAHARU
1 / 19

Sepanjang bulan ini, jenama BYD serta sub-jenama premiumnya iaitu Denza telah melihat rangkaian pusat jualannya di Malaysia berkembang di beberapa kawasan stategik.

Bermula dengan jenama utama BYD, rangkaian pusat jualan jenama kenderaan elektrik (EV) tersebut telah berkembang dengan dua cawangan yang masing-masing mempunyai konsep tersendiri yang mnyerlah.

BYD Miri (3S)

Yang pertama ialah sebuah pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) baharu di Miri, Sarawak oleh pengedar sah Kah Progression Auto Sdn Bhd – sebuah anak syarikat milik penuh kumpulan Oriental Holdings Bhd.

Dibangunkan di kawasan seluas 12,228 kaki persegi, cawangan tersebut kini berdiri sebagai cawangan terbesar jenama tersebut di Malaysia Timur.

Selain ruang pameran berkeluasan 5,838 kaki persegi yang mampu menempatkan sehingga lima buah kenderaan serentak, ia juga menempatkan sebuah pusat servis seluas 6,390 kaki persegi yang dilengkapi enam ruang penyelenggaraan dengan kapasiti mengendali sehingga 35 kenderaan sehari.

Selain itu, cawangan baharu BYD Miri ini turut dilengkapi ruang istirehat pelanggan, kaunter bar, bilik perbincangan, ruang khas penyerahan kenderaan, serta kemudahan stesen pengecasan EV khas buat pelanggan jualan dan servis.

BYD Rawang (1S)

Cawangan baharu seterusnya adalah bilik pameran BYD Rawang yang dikendalikan oleh BE Autohaus. Ini adalah cawangan jenama BYD ketiga syarikat tersebut selepas Setia Alam dan Kota Kemuning, dan ia bakal meliputi pelanggan dan pemilik di koridor utara Lembah Klang.

Berbeza daripada bilik pameran konvensional, BYD Rawang dibina dengan reka bentuk yang mengambil inspirasi daripada seni bina istana Eropah di atas tapak seluas 10,803 kaki persegi. Bilik pamerannya pula berkeluasan dalaman 4,298 kaki persegi untuk menempat lima kenderaan.

Salah satu tarikan utama BYD Rawang ialah penyediaan ruang pameran seni khas buat artis tempatan untuk mempamer dan menjual karya mereka kepada pengunjung. Melalui inisiatif ini, artis terpilih diberi peluang mempamerkan karya masing-masing selama tiga bulan sebelum pameran digantikan dengan penyertaan artis lain pada setiap suku tahun.

Semua karya yang dipamerkan boleh dibeli dan artis akan menerima 100% hasil jualan tanpa sebarang potongan komisen. Garis panduan penyertaan dan syarat kelayakan akan diumumkan melalui saluran media sosial rasmi BYD Rawang.

Denza Balakong (4S)

Beralih ke sub-jenama Denza pula, rangkaiannya kini ditambah dengan sebuah pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan cat) yang terletak di Balakong – cawangan kelapan bagi jenama Denza di Malaysia – berhampiran Seri Kembangan, Selangor.

Cawangan dengan keluasan kira-kira 3,000 meter persegi,dikendali Wing Hin Elegant Sdn Bhd – salah satu anak syarikat daripada kumpulan Wing Hin – dan ia terletak bersebelahan BYD Balakong 3S yang juga dikendalikan oleh kumpulan yang sama.

Selain bilik pameran seluas 650 meter persegi yang mampu memuatkan sehingga tujuh kenderaan merentasi dua tingkat, sebuah ruang penyerahan kenderaan khas seluas 61 meter persegi juga ditempatkan di sini.

Perkhidmatan selepas jualan disokong oleh tujuh ruang kerja, termasuk khidmat penjajaran roda. Selain khidmat servis dan jualan alat ganti, bahagian ini juga disokong khidmat baik pulih badan dan pengecatan (body & paint).

Menarik sekali, cawangan Denza Balakong bakal dilengkapi infrastruktur Pengecasan Pantas BYD (BYD Flash Charging). Operasi kemudahan ini akan dimulakan dalam masa terdekat.

Kembali ke lamanTekan Habis