INDUSTRI

BYD MALAYSIA LANTIK SIME MOTORS UNTUK LAKSANA OPERASI CKD DI INOKOM

15 Oct 2026
BYD MALAYSIA LANTIK SIME MOTORS UNTUK LAKSANA OPERASI CKD DI INOKOM
1 / 7

Akhirnya, BYD Malaysia telah umum rancangan pemasangan tempatan (CKD) baharunya untuk pasaran tempatan.

Melalui satu siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan hari ini, gergasi kenderaan tenaga baharu (NEV) dari China itu telah melantik Sime Motors sebagai rakan CKD bagi kenderaannya di Malaysia. Seperti dijangkakan, syarikat tempatan itu bakal memulakan operasi CKD untuk jenama BYD di kilang Inokom miliknya yang terletak di Kulim, Kedah.

Pengumuman itu tampil susulan pemeteraian sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, bagi menetapkan asas kerjasama kedua-dua pihak.

Menurut BYD Malaysia, Inokom dilantik berdasarkan penilaian terhadap pasaran tempatan dan keupayaan pengeluaran yang tersedia. Selain itu, pengalaman pemasangan kenderaan, ketersediaan tenaga kerja mahir serta prasarana sedia ada telah mendorong pemilihan syarikat berkenaan.

Kerjasama ini melihat BYD diberi peluang meneruskan rancangannya untuk  CKD di Malaysia sambil mengguna kemudahan industri automotif yang telah dibangunkan di Malaysia. Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata rancangan CKD ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang BYD terhadap Malaysia.

Tambah beliau lagi, kerjasama dengan Sime ini juga mengizinkan BYD membawa kepakaran kenderaan tenaga baharu, terutamanya teknologi baterinya, lebih dekat kepada pengguna Malaysia sambil menyumbang kepada pembangunan industri automotif tempatan.

Seperti apa yang kami telah bincang dalam episod podcast kami sebelum ini, kerjasama baharu ini turut membuka peluang untuk menyokong perniagaan tempatan dalam usaha mereka untuk membangun dan memajukan kepakaran bagi pertumbuhan jangka panjang industri automotif Malaysia.

Malah, perkara tersebut juga disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan bersama oleh pihak BYD Malaysia dan Sime Motors.

Setakat ini, tarikh permulaan operasi, serta rancangan barisan model yang bakal dipasang oleh Inokom belum dinyatakan lagi. BYD Malaysia memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai program pemasangan tempatan ini akan diumumkan kemudian.

Kembali ke lamanTekan Habis