MOF: 530,000 KENDERAAN DIPASANG INOKOM KULIM, 20% UNTUK EKSPORT
Setakat ini, hab pemasangan kenderaan INOKOM milik kumpulan Sime yang terletak di Kulim, Kedah, sudah berjaya menghasil sebanyak 530,000 unit sejak ia mula beroperasi. Menarik sekali, sebanyak 20% dari jumlah itu telah dieksport ke pasaran luar negara juga.
Perkara itu didedahkan Kementerian Keewangan (MOF) melalui satu perkongsian di laman Facebook rasminya awal minggu ini susulan dari satu lawatan teknikal khas ke fasiliti tersebut oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beroperasi di kawasan seluas 200 ekar, INOKOM kini giat memasang secara tempatan (CKD) sekurang-kurangnya 29 model daripada tujuh jenama utama, sekali gus menjadikannya antara hab pemasangan automotif penting di Malaysia.
Antara fasiliti yang menjadi tumpuan dalam lawatan tersebut ialah kilang CKD Porsche pertama di luar Eropah yang mula beroperasi pada 2022. Fasiliti berkeluasan 11,000 meter persegi itu kini menghasil model Cayenne dan Cayenne S E-Hybrid Coupe untuk pasaran tempatan. Ia juga menghasil model Cayenne S E-Hybrid Coupe untuk eksport the Thailand, dan lebih 5,000 unit model berkenaan telahpun dibina fasiliti ini setakak bulan Mac 2026.
Selain itu, perkongsian media sosial MOF tersebut juga mendedahkan bahawa keseluruhan tenaga kerja INOKOM terdiri daripada 100% rakyat tempatan Malaysia, dan ini mencerminkan keupayaan bakat tempatan untuk terlibat dalam operasi pemasangan kenderaan bertaraf global.
Pada masa sama, MOF turut menekankan bahwa aktiviti CKD di INOKOM turut memberi kesan kepada rantaian bekalan negara. Kementerian tersebut menganggar kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan menerusi pembekalan komponen, perkhidmatan logistik serta pelbagai perkhidmatan sokongan lain.
Dengan itu, MOF juga akur perkembangan ini selari dengan pendekatan capital-to-capabilities menerusi program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Pendekatan ini bukan sekadar mahu membawa pelaburan masuk ke Malaysia, ia turut memberi penekanan kepada pemindahan teknologi dan pengetahuan, pembangunan tenaga kerja tempatan serta pembukaan lebih banyak peluang bagi syarikat tempatan untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai.











