BYD BATAL RANCANGAN BINA KILANG CKD TANJONG MALIM
Akhirnya, BYD Malaysia telah memberi kemaskini tentang rancangan untuk memulakan operasi pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Malaysia. Perkara itu didedahkan Jacob Ma, pengarah urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, semasa pelancaran BYD Atto 3 Performance, baru-baru ini.
Pertama sekali, Ma sahkan rancangan asal syarikat gergasi kenderaan tenaga baharu (NEV) itu untuk membangunkan sebuah kilang CKD di Tanjong Malim, Perak, kini sudah dibatalkan. Eksekutif tersebut tidak menjelaskan sebab-sebab pembatalan projek tersebut.
Disebaliknya, Ma menegaskan bahawa BYD masih lagi nekad dan komited untuk merealisasikan hasrat CKD tersebut. Dengan itu, Ma juga dedah BYD kini berada pada peringkat lanjutan, susulan perubahan strategi syarikat bagi mendapatkan penyelesaian paling sesuai untuk ekosistem automotif tempatan.
BYD tidak menyatakan lokasi kilang pemasangan baharu yang sedang dipertimbangkan. Bagaimanapun, ada kemungkinan syarikat tersebut bakal memilih kilang pemasangan Inokom milik Sime yang terletak dan giat beroperasi di Kulim, Kedah.
Barisan kepimpinan tertinggi BYD pernah membuat lawatan rasmi ke kilang Inokom awal tahun ini dan, sperti ramau sudah tahu, fasiliti tersebut telahpun melalui beberapa proses naik taraf baru-baru ini termasuk pembangunan pusat mengecat kenderaan canggih yang baharu.
Maklumat mengenai lokasi, rakan pemasangan, jumlah pelaburan, kapasiti pengeluaran dan model pertama yang bakal dipasang dijangka diumumkan selepas semua urusan berkaitan diselesaikan.




