INDUSTRI

GENTARI & BYD UMUM KERJASAMA BANGUNKAN FLASH CHARGING DI MALAYSIA

23 Oct 2026
GENTARI & BYD UMUM KERJASAMA BANGUNKAN FLASH CHARGING DI MALAYSIA
1 / 3

Jenama gergasi kenderaan tenaga baharu (NEV) iaitu BYD (BYD Malaysia) telah umumkan satu lagi perkembangan dalam rancangannya untuk memperkenalkan teknologi pengecasan kenderaan elektrik (EV) pantas ‘Flash Charging’di Malaysia.

Melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan awal minggu ini, jenama tersebut telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Gentari. Dengan kerjasama ini, BYD dan syarikat rangkaian pengecasan EV tempatan itu akan meneroka pembangunan infrastruktur teknologi BYD Flash Charging dalam Malaysia.

Seperti dilaporkan dahulu, teknologi BYD Flash Charging mempunyai kemampuan untuk menambah jarak perjalanan sejauh 400KM dengan waktu pengecasan serendah 5 minit sahaja. Keupayaan ini bergantung pada penggunaan kenderaan yang mampu menyokong teknologi pengecasan pantas tersebut yang serasi dengan keadaan pengecasan optimum.

Selain itu, MoU ini juga menragkumi penilaian penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (battery energy storage system – BESS) untuk menyokong sistem pengecasan EV pantas berkuasa tinggi ini yang dibangunkan oleh BYD sendiri.

Bersama BYD Malaysia, Gentari bakal mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembangunan kemudahan tersebut. Ini termasuk laluan utama antara bandar yang menghubungkan pusat tumpuan penduduk, penilaian bekalan kuasa sokongan, keperluan teknikal, aspek komersial dan model operasi untuk membolehkan rangkaian pengecasan dibangunkan pada skala lebih besar.

Jumlah pengecas, lokasi pertama, kadar bayaran dan tarikh kemudahan BYD Flash Charging akan mula beroperasi di Malaysia belum diumumkan. Selain pengecasan EV, kedua-dua pihak juga akan meneroka kerjasama dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga.

Anak syarikat milik penuh Petronas, Gentari kini giat mengedali lebih 600 titik pengecasan EV di Malaysia. Melalui Gentari Go Roaming Hub, penggunanya turut diberi akses kepada lebih kurang 18,000 lokasi pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.

BYD juga menekankan bahawa langkah ini bakal memanfaatkan pengguna EV Malaysia yang masih lagi berkembang. Menurut syarikat itu, Malaysia merekodkan 53,537 pendaftaran EV baharu bagi sembilan bulan pertama 2026 - peningkatan 98.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kembali ke lamanTekan Habis