WING HIN MOTORSPORTS PERKENALKAN JENAMA ALAT GANTI T’SELECTION
T’Selection, satu jenama alat ganti dan penjagaan kenderaan lepas jualan – ‘aftermarket’ – baharu sahaja rasmi diperkenalkan oleh Wing Hin Motorsports untuk pasaran tempatan.
Jenama tersebut rasmi dilancarkan awal hari ini sempena hari pembukaan acara pameran dan perhimpunan kenderaan ubahsuai Jepun terkemuka iaitu Tokyo Auto Salon (TAS) Malaysia 2026 yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini di MAEPS, Serdang.
Wing Hin Motorsports merupakan satu syarikat tempatan yang cukup terkemuka sebagai pengedar rasmi jenama peralatan prestasi rasmi Toyota di Malaysia, khususnya GR Parts, TRD dan Modelista. Kumpulan utama syarikat tersebut – Wing Hin – juga terlibat dalam perniagaan automotif tempatan sebagai pengedar sah jenama Toyota, Lexus, serta BYD dan Denza.
Jenama T’Selection dibangunkan oleh TCD Asia – sebuah subsidiari Toyota Customizing & Development yang beroperasi di bawah naungan Kumpulan Toyota. Barisan alat ganti yang diperkenalkan hari ini direka khusus untuk kenderaan-kenderaan yang tidak lagi dilindungi oleh waranti rasmi oleh jenama pengeluar kenderaan utama, terutamanya Toyota.
Menarik sekali, Wing Hin bukan sahaja mendapat hak pengedaran T’Selection untuk pasaran Malaysia. Syarikat tersebut turut diberi hak pengedaran pada peringkat global. Menurut Wing Hin, barisan alat ganti T’Selection juga ini dikilangkan dengan memenuhi standard kualiti yang ketat, perlindungan dan prestasi, serta menerima kelulusan dari SIRIM di Malaysia.
Katalog alat ganti yang tersedia dalam bawah jenama T’Selection termasuk minyak pelincir enjin gred sintetik penuh dan separa sintetik, penapis minyak enjin (oil filter), penapis udara (air filter), bendalir brek (brake fluid), cecair penyejuk enjin (coolant), pembersih penyuntik bahan api (injector cleaner), cecair pembersih cermin hadapan (windscreen cleaner), serta pelbagai produk penyelenggaraan automotif yang lain.
Semasa acara pelancaran rasminya, pengerusi kumpulan Wing Hin Loh Tuck Sum mengesahkan juga T’Selection menyasar untuk menjadi penyedia akses yang lebih baik kepada pemilik untuk mendapatkan produk pasaran lepas jualan yang berkualiti bagi tujuan penyelenggaraan kenderaan yang berterusan walaupun ia tidak lagi dilindungi oleh waranti pengeluar.
Ini nyata melalui hasil soal-selidik Tekan Habis semasa acara pelancaran T’Selection tersebut. Kami difahamkan dari segi harga, produk-produk T’Selection diposisikan pada tahap lebih rendah dan lagi mampu-milik berbanding produk-produk setanding tulen yang ditawarkan oleh jenama pengeluar kenderaan.
Susulan pelancaran rasminya, edaran jenama T’Selection ini oleh Wing Hin Motorsports bakal berkembang dalam pasaran tempatan melalui pelbagai bengkel bebas di seluruh negara dalam masa terdekat.













