INDUSTRI

SIB DAN CHERY MEMETERAI PENJANJIAN BEKALAN KOMPONEN RM307 JUTA

05 Nov 2026
SIB DAN CHERY MEMETERAI PENJANJIAN BEKALAN KOMPONEN RM307 JUTA
1 / 3

Sapura Industrial Bhd (SIB) telah berjaya memperoleh kontrak yang dianggarkan bernilai RM307 juta daripada Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery). Skop projek ini merangkumi pemasangan sistem gandar bagi platform kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).

Satu perjanjian rasmi telah dimeterai dua-dua pihak awal minggu ini khususnya unutk pemasangan sistem gandar hadapan dan belakang bagi beberapa model utama dari kumpulan pengeluar automotif dari China itu. Antara model yang terbabit termasuk Jaecoo J5 serta kenderaan di bawah jenama LEPAS.

Kontrak selama empat tahun setengah itu dimeterai menerusi Perjanjian Pembelian Induk (MPA) antara anak syarikat milik penuh SIB, Sapura Machining Corporation Sdn Bhd (SMC), dengan Chery. Perjanjian itu menandakan kerjasama pembekalan langsung pertamanya dengan Chery, sekali gus menyokong usaha SIB mempelbagaikan portfolio pelanggan dalam industri automotif.

Projek ini bakal dilaksanakan melalui fasiliti baharu milik SIB di Bukit Beruntung, Selangor. Pengarah Urusan SIB, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin, berkata kerjasama itu mencerminkan keyakinan pengeluar automotif global terhadap keupayaan pembekal tempatan, khususnya dari segi kepakaran teknikal, operasi dan piawaian kualiti.

“Ini merupakan pencapaian penting bagi Sapura Industrial sebagai kerjasama langsung pertama kami dengan Chery. Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama jangka panjang dengan Chery, menyokong matlamat lokalisasinya serta menyumbang kepada kemajuan industri automotif Malaysia,” tambah beliau dalam ulasannya melalui satu siaran akhbar rasmi.

Sebelum memeterai kerjasama baharu ini, SIB mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam sektor automotif tempatan. Dalam masa itu, SIB telah giat membangunkan keupayaan kukuh dalam pemesinan berketepatan tinggi, sistem gantungan (suspension), pemasangan automotif dan pembuatan termaju (advanced manufacturing).

Bagi Chery, kerjasama ini melengkapi pelaburan berterusan pengeluar itu dalam kapasiti pembuatan tempatan dan pembangunan pembekal, seiring dengan peluasan operasinya di Malaysia dan rantau ASEAN.

“Malaysia memainkan peranan penting dalam aspirasi pengembangan serantau Chery, dengan rakan industry tempatan yang berkeupayaan kekal menjadi teras strategi kami. Kerjasama kami dengan Sapura Industrial mencerminkan komitmen ini dan menyokong perancangan jangka panjang kami di Malaysia,” kata Cheng Namweng, naib presiden Chery Corporate Malaysia.

Kembali ke lamanTekan Habis