INDUSTRI

SIB & ZZ TECH RASMIKAN KILANG KOMPONEN TENAGA BAHARU DI GURUN, KEDAH

02 Sep 2026
SIB & ZZ TECH RASMIKAN KILANG KOMPONEN TENAGA BAHARU DI GURUN, KEDAH

Sapura Industrial Bhd (SIB) telah memperluaskan operasinya daripada penghasilan komponen automotif kepada komponen tenaga berketepatan tinggi menerusi pembukaan rasmi kilang SIB ZZT di Gurun, Kedah.

Perkara itu disahkan SIB melalui satu siaran akhbar rasmi yang disiarkan syarikat tersebut. Kilang berkenaan juga dirasmikan baru-baru ini oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan Zhejiang Zhongze Precision Technology Co Ltd (ZZ Tech), kilang baharu ini akan memain peranan sebagai hab pembuatan berorientasikan eksport khusus bagi menghasilkan bekas bateri dan penutup bateri untuk aplikasi penyimpanan tenaga.

SIB ZZT dibangunkan berasaskan kepakaran pembuatan SIB selama beberapa dekad selain menjadi langkah diversifikasi strategik kumpulan tersebut kepada pembuatan komponen tenaga berketepatan tinggi dan platform baharu untuk pertumbuhan jangka panjang.

"Menerusi inovasi, kerjasama dan pembuatan termaju, kami berhasrat mewujudkan nilai berkekalan sambil menyumbang kepada ekosistem pembuatan tenaga Malaysia yang semakin maju," tambah Pengarah Urusan Sapura Industrial, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin.

Kemudahan itu merupakan fasa pertama daripada projek pengembangan pembuatan secara berperingkat SIB. Ia juga mempunyai kawasan tanah yang mencukupi bagi menyokong peluasan operasi pada masa depan, tambah Datuk Syed Izuan lagi melalui siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan.

Pada masa yang sama, Pengerusi ZZ Tech, Wu Shang, berkata Malaysia menyediakan asas pembuatan yang kukuh, manakala SIB pula membawa pengalaman industri dan keupayaan operasi yang digabungkan dengan teknologi serta kepakaran ZZ Tech.

"Kami sedang membina pangkalan pembuatan komponen tenaga berketepatan tinggi yang kompetitif di Malaysia untuk memenuhi pasaran serantau dan global," tambah Wu.

Menarik sekali, kilang SUB ZZT baharu ini dilengkapi teknologi pembuatan pintar termasuk automasi dan sistem kebolehkesanan menyeluruh bagi memenuhi piawaian tinggi dari segi kualiti, ketepatan dan kecekapan operasi.

SIB juga tambah sebanyak 200 peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang pembuatan termaju, akan dibuka melalui projek ini. Ia juga bakal membuka peluang kepada pembekal tempatan dan industri sokongan.

Kembali ke lamanTekan Habis