MERCEDES-AMG GT 63 PRO & AMG GT 63 4-DOOR COUPE TAMPIL DI MALAYSIA SEMPENA F1
Sempena acara Formula 1 Bahrain GP Di Malaysia yang berlangusng hujung minggu ini di Petronas Sepang International Circuit, pihak Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengambil kesempatan untuk perkenalkan dua model prestasi tinggi baharu awal hari ini.
Rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan adalah model 2026 Mercedes-AMG GT 63 Pro 4Matic+ Coupe, manakala model 2026 Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupe baharu dipertontonkan bersebelahannya buat kali pertama di Malaysia.
2026 MERCEDES-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ COUPE
Bermula dengan model yang dilancar secara rasmi, varian Pro dari barisan model Mercedes-AMG GT generasi kedua terbaru ini tiba di Malaysia sebagai versi yang lebih ekstrem dan lebih serius khas bagi pembeli yang juga giat memandu di atas litar.
Seperti versi standard yang dilancar tahun lepas, varian Pro ini juga dipacu nadi 4.0-liter V8 bi-turbo petrol, tetapi ia menghasil output yang lebih tinggi – 612HP dan 850Nm. Ini adalah peningkatan sebanyak 27HP dan 50Nm berbanding versi standard.
Nadi tersebut dipadan dengan transmisi automatik AMG Speeshift MCT 9G 9-kelajuan dan setup pacuan semua roda (all-wheel-drive – AWD) 4Matic+. Hasilnya melihat coupe prestasi tinggi mencapai pecutan 0-100km/j dalam 3.2 saat, pecutan 0-200km/j dalam 10.9 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 317km/j.
Selain output lebih tinggi, tambahan lain turut merangkumi kemasan estetik luaran yang dihasil dengan gentian karbon (carbon fibre), pelbagai penambahbaikan aerodinamik yang termasuk sebuah spoiler belakang tambahan, sistem kawalan casis AMG Active Ride Control, roda aloi jenis ‘forged’ 21-inci khas AMG, dan banyak lagi.
Menarik sekali, model AMG GT 63 Pro 4Matic+ Coupe ini juga tersedia dalam satu versi terhad ‘Motorsports Collectors Edition’. Edisi ini tampil dengan padanan waran hitam khas Obisian Black bersama grafik motif bintang tiga-bucu dan beberapa hiasan luaran dan kabin yang tampil dalam warna hijau khas Petronas. Hanya 200 unit edisi ini akan tersedia secara global.
Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 Pro 4Matic+ Coupé ditawarkan pada harga anggaran bermula dari RM2,088,888, manakala edisi terhad Motorsport Collectors Edition pula dianggar bermula dari RM2,588,888 setiap satu.
2026 MERCEDES-AMG GT 63 4-DOOR COUPE
Seterusnya, MBM juga menampilkan model elektrik penuk (EV) prestasi tinggi terbarunya iaitu Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupe. Model ini dibina atas platform seni bina AMG.EA 800-volt baharu yang dilengkapi tiga motor elektrik prestasi tinggi generasi baharu yang dibangunkan Mercedes-Benz bersama YASA yang juga dikenali sebagai ‘Axial-Flux Motors’.
Output keseluruhan EV bernadi tiga-motor ini adalah lebih kurang 1,169HP, manakala daya kilas (tork) maksimumnya pula mencecah 2,000Nm. Dengan itu, EV ini mampu mencapai pecutan 0-100km/j dalam 2.4 saat, manakala kelajuan maksimumnya telah dihadkan secara elektronik pada 260km/j.
Setup tiga-motor yang disebut tadi dikuasai pek bateri berkapasiti 106kWj yang mampu menyokong pengecasan AC 11kW dan pengecasan DC pantas setinggi 350KW (10-80% dalam 16 minit). Dengan setiap pengecasan penuh, model AMG GT63 4-Door Coupe ini mempunyai jarak gerak maksimum WLTP sejauh 697KM menurut Mercedes-AMG.
Turut disertakan dalam model EV prestasi tinggi ini adalah tekonolgi kawalan aerodinamik aktif, sistem kawalan casis AMG Active Ride Control yang turut disertakan sistem gantungan udara (active air suspension) dan sistem stereng gandar belakang (rear-axle steering), dan sistem penghasilan bunyi enjin sintetik AMGFORCE S+.
Selain itu, kemewahan canggih lain yang turut dilengkapi termasuk sistem audio 3D Burmester, paparan digital ‘Augmented Reality’, setup paparan utama tiga-skrin yang merangkumi panel meter digital 10.2-inci, skrin sentuh infotainmen 14-inci dan paparan penumpang hadapan 14-inci, dan banyak lagi.
Untuk pasaran Malaysia, model Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé ini ditwarkan pada harga anggaran yang bermula dari RM1,290,000.












