MERCEDES-BENZ CLA 200 AMG LINE & GLC ELECTRIC TIBA – DARI RM275,000* & RM389,000*
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah kembangkan lagi barisan modelnya untuk pasaran tempatan dengan dua tambahan baharu iaitu Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line dan barisan GLC Electric baharu.
CLA 200 AMG LINE
Bermula dengan CLA, model sedan generasi ketiga ini sudahpun ditawarkan dalam versi elektrik penuh (EV, kod casis: C174) sebelum ini. Varian CLA 200 AMG Line baharu ini pula melihat barisan tersebut berkembang dengan pilihan enjin pembakaran (ICE, kod casis: C178).
Dipasang secara tempatan oleh MBM di Pekan, Pahang, CLA 200 AMG Line baharu ini dipacu mengguna enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang digandingkan bersama sistem separa hibrid (mild-hybrid - MHEV) 48-volt. Menarik sekali, nadi ini dibekal kepada Mercedes-Benz oleh Horse Powertrain yang dimiliki Geely.
Secara keseluruhan, nadi ini menghasil 184HP dan 330Nm untuk memacu roda hadapannya melalui transmisi 8-kelajuan automatik dwi-klac 8G-DCT. Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam 8.0 saat, manakala kelajuan maksumumnya adalah 232km/j.
Menari juga adalah cara sistem MHEV nadi ini beroperasi. etika dipandu pada kelajuan bandar dan permintaan kuasa kurang daripada 22 kW, CLA 200 boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sahaja. Tampil di sini adalah fungsi panduan "electric sailing" yang membolehkan kereta meluncur sehingga sekitar 100 km/j.
Sistem regeneratifnya pula mampu menangkap semula tenaga sehingga 25kW dan boleh berfungsi dalam semua 8 gear. Tenaga elektrik tersebut disimpan dalam bateri lithium-ion 1.3 kWh. Dengan motor elektrik dan komponen berkaitan diintegrasikan terus di dalam transmisi, susunan keseluruhan sistem dapat dibuat lebih kompak.
Menurut Mercedes-Benz, dengan bantuan sistem MHEV ini, tren kuasa CLA 200 AMG Line mampu berpoerasi dengan kecekapan bahan api yang tinggi – jenama tersebut mendakway kebolehan mengguna purata bahan api serendah 5.0 liter/100KM (20KM/liter).
Beralih ke bahagian kabin dan kelengkapan lain, model CLA 200 AMG Line ini mirip dengan kembar elektrik penuhnya. Sorotan utama termasuk rekaan kabin yang sama, serta susunan paparan skirn MBUX Superscreen dengan perisian Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) bersama MBUX generasi keempat.
Selain kemasan dan hiasan kabin tema sporty AMG Line, model ini juga dilengkapi pakej bantuan pemanduan (ADAS) MB.DRIVE Standard, Distance Assist DISTRONIC, MB.DRIVE PARKING ASSIST 360 yang membantu ketika melakukan pergerakan parkir, pakej GUARD 360° Vehicle Protection, dan banyak lagi.
Bagi yang berminat, Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line baharu kini dibuka untuk pra-tempahan pada harga anggaran bermula dari RM275,000.
GLC 300 4MATIC ELECTRIC
Beralih ke GLC Electric pula, crossover SUV elektrik penuh terbaru jenama bintang tiga-bucu ini tampil sebagai tawaran kenderaan elektrik terbaru dan paling canggih sekali untuk pasaran tempatan. Untuk Malaysia, ia ditawarkan dalam dua gred iaitu GLC 300 4Matic Electric Avantgarde dan GLC 300 4Matic Electric AMG Line Plus.
Seperti CLA 200 AMG Line tadi, kami juga difahamkan SUV elektrik mewah baharu ini bakal dipasang secara tempatan (CKD) oleh MBM di Pekan, pahang juga dalam masa akan datang, Sebelum itu, MBM akan mula memasarkannya dalam versio import penuh (CBU) dahulu.
Walaupun ia kongsi nama sama dengan model GLC versi ICE sedia ada, GLC Electric ini diposisikan sebagai model tersendiri yang berasingan. Ia juga dibina atas asas seni bina elektrik 800-volt khusus dengan teknologi serta tren kuasa baharu, serta rekaan dan penggayaan SUV yang baharu dan lebih futuristik.
Terus ke spesifikasi mekanikal dan, seperti apa yang dituju melalui nama variannya, GLC #00 4Matic Electric ini mengguna setup dwi-motor, pacuan semua-roda (AWD) berssama transmisi dua-nisbah (motor belekang) yang menghasil 421HP dan 800Nm untuk membolehkan pecutan 0-100km/j h dalam 4.7 saat dan kelajuan maksimum 210km/j.
Setup tersebut dikuasai pek bateri 85kwJ jenis NMC yang menjanjikan jarak gerak maksimum WLTP sejauh 597KM (Avantgarde) atau 584KM (AMG Line), sokongan pengecasan pantas DC setinggi 330kW untuk membolehkan pengecasan 10-80% hanya dalam 22 minit, serta sokongan pengecasan AC 22kW.
Beralih ke kelengkapan utama, GLC Electric versi ini untuk pasaran Malaysia tidak dilengkapi sistem gantungan udara aktif pintar Airmatic, sistem stereng roda belakang, mahupun pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2 penuh – fungsi pengekalan lorong dan pertukaran lorong autonomi tidak dilengkapi.
Sorotan kelengkapan dan kemewahan utama merangkumi paparan skrin 39.1-inci interaktif gergasi MBUX Hyperscreen, sistem audio Burmester 15-speaker, rekaan gril hadapan bercahaya LED penuh, tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik serta fungsi pengudaraan, bumbung suria kaca elektrokromatik, dan banyak lagi.
Kini buka untuk pra-tempahan, harga anggaran yang diumum MBM bagi GLC 300 4Matic Electric Avantgarde bermula dari RM389,000, manakala versi GLC 300 4Matic Electric AMG Line pula bermula dari RM399,000.
GANJARAN KHAS PEMBELI TERAWAL 100 UNIT
Kedua-duanya kini dibuka untuk pra-tempahan, dan 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan awal turut akan menerima pas ke acara eksklusif Mercedes-AMG F1 Party.














