Kembali ke laman Tekan Habis
SUKAN PERMOTORAN

SAH: MALAYSIA BANTU JADI TUAN RUMAH F1 GP BAHRAIN DI LITAR SEPANG

27 Jul 2026
Sumber: F1.com
Sumber: F1.com — Foto: F1.com

Seperti kami jangkakan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan lihat jentera Formula 1 (F1) kembali berlumba atas asphaltnya tahun ini. Kali terakhir F1 berlumba di litar tersebut adalah pada tahun 2017 – tahun terakhir F1 Malaysia Grand Prix (GP) dianjurkan.

Pekara ini disahkan melalui kenyataan rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Formula One Group Stefano Domenicali, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Mohammed Ben Sulayem, serta Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa.

Dengan konflik di Timur Tengah kekal berterusan, isu keselamatan telah memaksa penangguhan dan pembatalan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung di litar Sakhir. Melalui satu kerjasama antara kerajaan Bahrain dan Malaysia,  SIC tampil sebagai tuan rumah pengganti untuk acara perlumbaan tersebut.

Walaupun Malaysia jadi tuan rumah, pihak kerajaan Bahrain – melalui penaja utama acara ini – masih akan membiayai yuran penganjuran (hosting fee) untuk pusingan perlumbaan ini. Dengan itu, kami difahamkan acara tersebut akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain GP In Malaysia.

Tarikh pusingan pengganti ini ditetapkan pada 2 hingga 4 Oktober – di antara GP Azerbajian yang berlangsung dari 24 hingga 26 September dan GP Singapura yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober. Seperti apa kami laporkan, SIC tampil sebagai calon sesuai atas sebab-sebab penjadualan ini dan pergerakan logistik F1 ketika itu.

Kami juga difahamkan ada beberapa perjanjian dan kelulusan rasmi yang masih diperlukan untuk menjayakan acara ini, tetapi kesemuanya lihat bakal diselesaikan semua pihak berkenaan tanpa masalah. Maklumat lanjut termasuk penjualan tiket bagi perlumbaan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dengan yuran penganjuran dibiayai, apakah manfaat-manfaat ekonomi yang bakal diperoleh Malaysia? Penting sekali, adakah kepulangan pusingan kejohanan dunia F1, walaupun untuk hanya satu acara, boleh memanfaatkan sektor sukan permotoran tempatan juga? Hos-hos kami bakal bincangkan persoalan ini tidak lama lagi...

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis