PRODUK

JETOUR T2 I-DM RASMI DILANCAR – RM162,800

21 Sep 2026
JETOUR T2 I-DM RASMI DILANCAR – RM162,800
1 / 20

Selepas dipertontonkan awal tahun ini semasa KLIMS 2025, Jetour Malaysia telah rasmi perkenalkan Jetour T2 i-DM. SUV mewah gaya lasak ini telah rasmi dilancar hujung minggu lepas sempena acara Malaysia Sarong Music Run 2026 di Kuala Lumpur.

Harga rasmi yang diumumkan bagi tawaran baharu ini adalah RM162,800 – lebih rendah berbanding harga anggaran RM168,888 yang diumumkan semasa KLIMS 2026.

Termasuk dalam harga tersebut adalah waranti kenderaan asas selama 7-tahun atau 150,000KM, waranti enjin 10-tahun atau 1,000,000KM, waranti bateri voltan tinggi 8-tahun atau 160,000KM, serta pakej servis (upah dan alat ganti) selama lima kali.

Seperti apa yang kami laporkan dahulu, Jetour T2 i-DM ini tiba sebagai tawaran varian tren kuasa alternatif plug-in hybrid (PHEV). Pakejnya merangkumi enin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang digandingkan dua motor elektrik, pek bateri LFP 18.4kWj, serta padanan transmisi khas hibrid (Dedicated Hybrid Transmission – DHT) tiga kelajuan.

Pakej ini menghasil output keseluruhan 355HP dan 610Nm, serta jarak gerak elektrik sahaja melebihi 100KM, jarak gerak gabungan petrol-elektrik sehingga 1,200KM, sokongan pengecasan pantas DC setinggi 57kW (30-80%: 27 minit), dan sokongan vehicle-to-load (V2L) pada kadar 3.3kW.

Penggayaan T2 i-DM ini tidak jauh beza dari varian T2 biasa yang ramai sudah kenali. Sentuhan menyerlah selain rekaan badan lasak bentuk petak termasuk pencahayaan lampu LED dan roda aloi ‘Trailblazer’ berukur 20-inci.

Beralih ke kabin, tiada banyak perubahan di sini juga berbanding varian T2 biasa yang disebut. Kelengkapan utama di sini termasuk paparan skrin sentuh infotainment 15.6-inci bersama sistem audio Sony 16-speaker.

Dari segi keselamatan, varian bernadi PHEV ini juga datang lengkap dengan pakej ADAS Tahap 2 di atas pakej keselamatan asas yang juga merangkumi enam beg udara di dalam kabin.

Sempena pelancaran rasminya, Jetour Malaysia bakal memberi ganjaran khas bernilai RM3,000 bagi 2,000 pembeli terawal Jetour T2 i-DM ini. Sorotan utama merangkumi kabel V2L percuma, serta pilihan antaran pengecas AC wallbox 7kW percuma (termasuk pemasangan) atau kredit pengecasan ChargeSini percuma bernilai RM2,000.

Kembali ke lamanTekan Habis