Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini, Jetour Malaysia telah rasmi perkenalkan satu tawaran edisi khas terhad berasaskan model SUV mewah utamanya. Dikenali sebagai Jetour T2 Dark Warrior, hanya 69 unit tersedia untuk pembeli tempatan.
Dalam versi edisi khas ini, SUV bergaya lasak mewah ini diberi kemasan luaran hitam matte bersama beberapa tambahan khas seperti rel bumbung hitam, logo Jetour dan emblem T2 berwarna hitam di belakang, serta angkup brek merah.
Selain itu, setiap unit juga dilengkapi pakej aksesori rasmi Dark Warrior yang bernilai RM10,800. Pakej ini merangkumi tambahan-tambahan lain seperti guard rail, gril, tangga sisi modular, rak bumbung, lambang ‘Stealth’, serta plet gantung sisi.
Selepas ditambah pakej Dark Warrior ini, harga keseluruhan T2 Dark Warrior Limited Edition menjadi naik dari RM156,800 ke RM167,600 (tanpa insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran) untuk Semenanjung Malaysia.
Selain tambahan estetik khas yang disebut, tiada perubahan dari segi spesifikasi mekanikal boleh dilapor. Varian khas ini mengekalkan pakej tren kuasa 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang menghasil 180HP dan 375Nm.
Nadi tersebut juga terus kekal dipandankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan dwi-klac dan sistem pacuan semua roda pintar Intelligent XWD yang menawarkan sekurang-kurangnya 7 pilihan mod panduan berdasarkan jenis permukaan.
Kekal di sini juga adalah pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2, serta jaminan waranti kenderaan asas 7-tahun atau 150,000KM, jaminan waranti tren kuasa selama 10-tahun atau 1,000,000KM, dan pakej penyelenggaraan percuma sebanyak 5 kali.






