INDUSTRI

HONDA CITY HATCHBACK FACELIFT CKD MULA DIBINA DI MELAKA

06 Oct 2026
HONDA CITY HATCHBACK FACELIFT CKD MULA DIBINA DI MELAKA
1 / 5

Honda Malaysia telah dedah operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model terbarunya iaitu Honda City Hatchback Facelift sudah bermula di kilang miliknya – Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) – yang terletak di Pegoh, Alor Gajah, Melaka.

Satu majlis pelucuran khas telah dianjurkan Honda Malaysia awal hari ini di kilang tersebut untuk menandakan permulaan operasi tersebut yang turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Kehadiran beliau mencerminkan hubungan erat antara Jepun dan Malaysia dalam sektor automotif, selain menekankan kepentingan pengeluaran tempatan serta penggunaan tenaga kerja dan pembekal dalam negara.

“Saya memuji Honda Malaysia kerana menggabungkan teknologi Jepun, pengetahuan dalam bidang pembuatan dan komitmen terhadap kualiti dengan bakat rakyat Malaysia, pembekal tempatan serta keupayaan industri. Komitmen Honda Malaysia terhadap lokalisasi khususnya wajar diberi perhatian,” kata Shikata.

“Pelancaran pengeluaran ini bukan sekadar pengenalan model baru; ia mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan pembuatan, inovasi dan pertumbuhan mampan,” tambah Ketua Pegawai Eksekutif HMSB, Narushi Yazaki.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan untuk acara ini, HMSB juga dedah setakat ini, syarikat itu telah bekerjasama dengan kira-kira 500 pembekal tempatan, selain mempunyai hampir 20,000 warga kerja di seluruh negara yang terdiri daripada Honda Malaysia, rangkaian pengedar dan rakan pembekal.

HMSB juga menyatakan bahawa sejak ia diperkenalkan pada penghujung 2021, model City Hatchback telah berjaya meraih lebih 51,000 unit dijual pada pembeli tempatan.

Majlis tersebut diadakan susulan hanya seminggu selepas Honda Malaysia rasmi umumkan pembukaan tempahan awal untuk model City Hatchback kemaskini terbaharu tersebut. Kembar sedannya yang juga telah dikemaskini telahpun rasmi dilancar lewat bulan lepas dengan 4 varian tersedia pada harga permulaan dari RM89,900.

Model hatchback yang telah mula CKD di Melaka ini bakal berkongsi pakej kemaskini yang sama seperti kembar sedan tersebut. Ini termasuk penggayaan baharu, serta kelengkapan ciri-ciri mewah baharu dan fungsi keselamatan yang dinaik taraf. Maklumat spesifikasi penuh akan dikeluarkan semasa pelancaran rasminya nanti.

 

Kembali ke lamanTekan Habis