HONDA CITY FACELIFT TIBA – 4 VARIAN, DARI RM89,900
Barisan model Honda City untuk pasaran tempatan telah dikemaskini dengan ketibaan versi facelift terbaharu yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia awal hari ini.
Seperti laporan awal kami, versi model tahun 2026 ini tampil dengan wajah baharu, beberapa ciri-ciri yang dinaiktaraf serta peningkatan tempoh jaminan waranti bagi semua varian.
Seperti dahulu, tawaran sedan segmen-B ini tersedia dalam 4 varian, dan inilah harga asas masing-masing:
- City 1.5 E – RM89,900
- City 1.5 V – RM94,900
- City 1.5 RS – RM99,900
- City 1.5 e;HEV RS – RM111,900
Harga semua varian kekal seperti versi sebelumnya, tetapi waranti yang termasuk sekali sudah dilanjutkan. Kini, model tersebut ditawarkan dengan jaminan waranti kenderaan asas 8-tahun tanpa had batuan, serta lima kali servis buruh percuma.
Khusus bagi varian 1.5 e:HEV RS, tawaran bernadi hibrid ini turut disertakan dengan jaminan komponen hibrid selama 10-tahun tanpa had batuan – Honda Malaysia telah perkenalkan lanjutan jaminan ini pada bulan September lalu.
WAJAH BAHARU & CIRI-CIRI YANG DINAIKTARAF
Secara visual, perubahan paling ketara yang dikongsi semua varian adalah rekaan wajah hadapan baharu yang lebih tajam berserta dengan rekaan bumper hadapan baru, lampu utama LED yang lebih nipis, dan padanan rekaan lampu LED DRL. Bagi varian lebih tinggi, ia juga terima jalur lampu LED baharu yang merentasi gril hadapan.
Khusus bagi varian RS, ia kini tampil dengan kemasan hitam kilat untuk mengganti kemasan krom yang digunakan sebelum ini. Turut hadir bagi varian RS juga adalah rekaan rim aloi 16-inci baharu dengan rekaan turbin dalam warna hitam.
Beralih ke kabin, rekaan asas masih kekal, tapi ia kini tampil dengan kemasan papan pemuka bertekstur dengan garisan perincian merah. Baharu di sini juga adalah lampu ambien rona merah bagi varian RS dan biru bagi varian V. Varian e:HEV RS kini menerima pengecas peranti tanpa wayar baru yang terletak di bahagian hadapan konsol tengah.
Baharu di sini juga adalah paparan skrin sentuh infotainmen 10-inci baharu bagi varian V dan ke atas. Selain sambungan Apple CarPlayu dan Android Auto, skrin baharu yang lebih besar ini turut dilengkapi fungsi kamera parkir 360-darjah.
BSM KINI GANTI HONDA LANEWATCH
Seperti versi sebelum ini, pakej bantuan pemanduan (ADAS) Honda Sensing kekal sebagai kelengkapan standard. Baharu di sini adalah fungsi pemantauan titik buta (Blind Spot Monitor – BSM) kiri dan kanan yang mengganti Honda LaneWatch sedia ada yang hanya berfungsi di sebelah kiri sahaja.
Fungsi-fungsi lain tersedia melalui pakej ini termasuk brek kecemasan autonomi, Adaptive Cruise Control dengan Stop/Go (eksklusif untuk e:HEV RS sahaja), bantuan ke tengah lorong, penghindar keluar jalan, amaran pergerakan hadapan serta lampu tinggi automatik.
PAKEJ TREN KUASA KEKAL
Selain pembaharuan yang tertera, tiada perubahan dari segi spesifikasi mekanikal boleh kami lapor. Varian E, V dan RS masih kekal dengan paken enjin 1.5-liter 4-silinder petrol bersama padanan transmisi CVT automatik dengan output 121PS dan 145Nm.
Bagi varian 1.5 e:HEV RS pula, ia juga kekal dengan sistem hibrid i-MMD yang merangkumi enjin 1.5-liter petrol versi kitaran Atkinson yang menghasi 98PS dan 127Nm untuk bertugas sebagai penjana (generator), motor elektrik utama yang menghasil 109PS dan 253Nm, serta pek bateri kompak dan transmisi khas kelajuan tunggal.
GANJARAN KHAS RM3,000
Sempena ulangtahun ke-24 bagi model City, Honda Malaysia turut menawarkan Program Ganjaran City Istimewa bernilai RM3,000 yang ditujukan khas pada 2,400 pembeli pertama sama ada pemilik baharu atau sedia ada mana-mana model Honda, yang naiktaraf ke City baharu dan juga penjawat awam.












