PRODUK

2026 HONDA CITY HATCHBACK FACILIFT BUKA UNTUK TEMPAHAN

01 Oct 2026
2026 HONDA CITY HATCHBACK FACILIFT BUKA UNTUK TEMPAHAN

Selepas memperkenalkan model sedan City versi facelift baharu bulan lepas, kini tiba giliran City Hatchback pula. Awal hari ini, Honda Malaysia telah rasmi umumkan tempahan awal untuk versi facelift terbaharu model tersebut sudah buka di pengedar sah seluruh negara.

Tawaran hatchback segmen-B tersebut menerima pelbagai perubahan estetik dan penambahbaikan kelengkapan, kebanyakannya mirip dengan apa yang kami sudah lihat dalam kembar versi sedan yang tiba bulan lepas.

Sorotan utama termasuk rekaan ‘Connected Headlights’ baharu, rim aloi dwi-tona yang dikemas kini,  kemasan kabin beserta lampu ambien baharu, paparan skirn sentuh infotainmen 10-inci baharu, serta pakej bantuan pemanduan (ADAS) Honda Sensing yang dikemas kini dengan tambahan sistem pantauan titk buta (Blind Spot Information) dan Cross Traffic Monitoring.

Walaupun tidak disebut dalam siaran akhbar rasminya, spesifikasi teknikal City Hatchback versi facelift terbaharu ini akan dikekalkan. Sebagai segaran memori, hatchback segmen-B ini tersedia dengan pilihan 1.5-liter 4-silinder petrol atau 1.5-liter 4-silinder petrol hibrid, dan dua-dua juga dikongsi sama dengan kembar sedan yang disebut tadi.

Buat masa ini, Honda Malaysia belum dedahkan senarai varian, spesifikasi penuh serta harga rasmi barisan City Hatchback baharu. Maklumat lengkap mengenai model tersebut akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.

Seperti apa yang dilihat semasa pelancaran City baharu bulan lepas, Honda Malaysia bakal memberi perlindungan waranti kenderaan asas baharu selama 8-tahun tanpa had batuan, manakala varian hibrid pula bakal ditawarkan dengan waranti sistem dan komponen hibrid baharu selama 10-tahun tanpa had batuan juga.

Bermula hari ini (1 September 2026), tempahan sudah pun dibuka menerusi platform pra-tempahan Honda Malaysia di atas talian atau di mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara.

Kembali ke lamanTekan Habis