PRODUK

HONDA CITY HATCH BACK FACELIFT RASMI DILANCAR – 3 VARIAN, DARI RM95,900

19 Oct 2026
HONDA CITY HATCH BACK FACELIFT RASMI DILANCAR – 3 VARIAN, DARI RM95,900
1 / 17

Honda Malaysia telah rasmi melancarkan model City Hatchback versi facelift terbaharunya awal hari ini. Seperti dijangkakan, tiga varian tersedia untuk tawaran hatchback segmen-B ini pada harga:

-              City Hatchback 1.5 V – RM95,900

-              City Hatchback 1.5 RS  – RM100,900

-              City Hatchback 1.5 e:HEV RS – RM112,900

 

Harga tersebut termasuk jaminan waranti kenderaan asas 8-tahun tanpa had batuan, manakala varian hibrid (e:HEV RS) khususnya ditambahkan dengan jaminan waranti asing untuk pek bateri hibrid selama 10-tahun tanpa had batuan.

Perubahan estetik hatchback ini mirip dengan kembar sedan yang dilancarkan pada bulan September lalu. Sorotan utama adalah rekaan bumper hadapan, gril, lampu LED-penuh hadapan yang kini juga tampil dengan sentuhan ‘New Connected Headlights’.

Honda turut memperkenalkan rim aloi dwi-tona 16-inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear untuk dua-dua varian RS, manakala varian V diberi kemasan Shark Gray. Baru disini juga adalah pilihan warna eksterior ‘Blazing Red Pearl’.

Beralih ke kabin, kemasan papan pemuka 3D Pattern Mid Garnish baharu bersama lampu kabin ambien seperti kembar sedan kini tersedia. Varian RS dan e:HEV RS pula kini dilengkapi tempat duduk sporty baharu dengan motif jahitan kontras merah.

Perubahan utama lain termasuk skrin sentuh infotainmen 10-inci baharu bersama pengecas peranti tanpa wayar (wireless charger). Khusus bagi varian RS dan e:HEV RS, fungsi kamera 360-darjah Multi-View Camera System juga dilengkapi sebagai standard.

Seterusnya, pakej bantuan pemanduan (ADAS) Honda Sensing kini dilengkapi secara standard pada semua varian. Ini jugs termasuk fungsi pemantauan titik buta (Blind Spot Monitor), Honda LaneWatch, serta pemantauan trafik silang (Cross-Traffic Monitoring).

Tipikal dengan pembaharuan facelift sebegini, tiada perubahan spesifikasi mekanikal boleh kami lapor. Varian 1.5 V dan 1.5 RS kekal dipacu nadi 1.5-liter 4-silinder DOHC i-VTEC petrol yang menghasil 121PS dan 145NM, serta padanan transmisi CVT automatik.

Varian 1.5 e:HEV RS juga kekal dengan gabungan enjin 1.5-liter 4-silider petrol dengan kitaran Atkinson yang menjana 98PS dan 127Nm, motor pacuan elektrik utama dengan output 109PS dan 253Nm dengan transmisi khas 1-nisbah, serta pek bateri 1.3kWj.

Tempahan dan pandu uji Honda City Hatchback facelift baharu ini boleh dibuat melalui pengedar sah Honda di seluruh negara sekarang.

Sempena pelancaran rasminya, Honda Malaysia menawarkan ganjaran tunai RM4,000 pada pelanggan yang mendaftarkan mana-mana varian. Pemilik Honda sedia ada yang menukar beli melalui Honda Certified Used Car (HCUC) pula layak terima rebat RM2,000.

Kembali ke lamanTekan Habis