HONDA ADV 160 TRICO EDITION TIBA DARI RM14,149
Tawaran skuter bergaya ‘adventure’ popular dari Honda iaitu ADV 160 kini tersedia dalam lagi satu versi khas. Tampil untuk pasaran tempatan kini adalah Honda AV160 Trico Edition.
Berasaskan model ADV 160 versi kemaskini tahun 2026 yang diperkenalkan semasa Malaysia Bike Show 2026 awal tahun ini, varian terbaru ini melihat skuter popular ini tampil dengan kombinasi warna grafik tiga warna terkemuka jenama Jepun ini.
Khususnya, skim warna ini yang menggabung rona merah, biru dan putih merupakan identiti menyerlah yang digunakan Honda dalam dunia sukan permotoran, khususnya dalam pelbagai kejuaraan perlumbaan motosikal dunia.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano, penggunaan warna Trico ini mencerminkan legasi perlumbaan Honda serta komitmen jenama itu untuk menghasilkan motosikal yang membanggakan pemiliknya.
Selain warna dan grafik baharu ini, ADV 160 versi terbaru ini kekal kongsi tren kuasa dan tahap kelengkapan yang sama serperti versi sedia ada. Ini termasuk nadi 156.9cc satu-silinder SOHC dengan penyejukkan cecair yang menjana 15.8HP dan 14.7Nm.
Nadi tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT pulas-dan-pecut dan tangki bahan api 8.1-liter. Sorotan kelengkapan utama casis pula merangkumi brek cakera bersama sistem ABS saluran tunggal dan sistem gantungan yang dibekalkan Showa.
Kelengkapan utama lain termasuk panel meter digital TFT 5-inci dengan sokongan sambungan Honda RoadSync, fungsi kunci pintar Smart Key System, serta fungsi kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Kelengkapan lain yang turut kekal termasuk port pengecas USB-C, ruang simpanan bawah tempat duduk seluas 30-liter, dan juga penghadang angin hadapan boleh laras.
Kini tersedia melalui pengedar sah di seluruh negara, harga asas rasmi Honda ADV 160 Trico Edition ini bermula dari RM14,149 tanpa insurans dan kos pendaftaran. Termasuk sekali adalah jaminan waranti 2-tahun atau 20,000KM.
Sempena pengenalan edisi khas tersebut, setiap pembelian Honda ADV160 Trico Edition turut disertakan dengan pakej hadiah yang merangkumi JBL earbuds dan Motowolf balaclava, tertakluk kepada stok yang masih ada.















