Boon Siew Honda (BSH) telah rasmi perkenalkan sebuah varian edisi khas berasaskan tawaran skuter premium popularnya – ADV 160. Kini, model tersebut tesedia dalam edisi khas ‘Spider-Man Edition’ yang diinspirasikan dari adiwira popular Marvel tersebut.
BSH sahkan hanya 300 unit Honda ADV 160 Spider-Man Edition telah diperuntukkan untuk pasaran tempatan, dan harga asas setiap satu adalah RM14,149 (tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran). Termasuk sekali adalah jaminan 2-tahun atau 20,000KM.
Edisi khas ini tampil dengan livery warna merah-biru khas yang diinspirasikan daripada identiti Spider-Man, serta logo, grafik dan jalur khas yang cerminkan elemen-elemen identiti adiwira popular tersebut.
Selain itu, setiap unit Honda ADV 16 Spider-Man Edition dipakej sekali dengan set hadiah eksklusif bertema Spider-Man. Set ini merangkumi termos LED, penutup tangki minyak edisi khas, serta set lambang Honda, ADV 160 dan kad sijil milikan bernombor (2-301).
Selain gubahan estetik ini, tiada ubahan mekanikal boleh kami lapor. Sama seperti apa yang dilancar semasa Malaysia Bike Show 2026, Honda ADV 160 versi terkini dikuasai enjin 156.9cc satu-silinder eSP+ yang menjana 15.8HP & 14.7Nm.
Enjin tersebut dipadan dengan transmisi CVT automatik, manakala casis skuter premium ini juga dilengkapi sistem brek ABS dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) – ciri-ciri yang kami yakin bantu memberi model ini penarafan MyMAP 5-bintang.
Para peminat serta bakal pembeli boleh melihat motosikal ini di acara Marvel's Spider-Man World of Webs yang berlangsung di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang dari 16 Julai hingga 2 Ogos 2026. Selepas itu, jualan melalui pengedar sah akan mula 3 Ogos 2026.









