PRODUK

GWM WEY G9 HI4 HEV TIBA – RM249,800

20 Oct 2026
GWM WEY G9 HI4 HEV TIBA – RM249,800
1 / 4

Seperti dijangkakan, GWM Malaysia telah kembangkan lagi barisan model MPV mewahnya iaitu Wey G9 dengan tambahan varian hibrid (Hi4 HEV) baharu. Varian tersebut kini buka untuk tempahan pada harga RM249,800.

Seperti varian PHEV sedia ada, varian HEV ini juga dipasang secara tempatan  (CKD) oleh EPMB di kilangnya di Pegoh, Melaka.

Harga tersebut melihat varian hibrid (HEV) ini ditawarkan pada harga RM20,000 lebih rendah dari varian plug-in hybrid (PHEV) sedia ada. Untuk perbandingan, GWM Wey G9 Hi4 PHEV yang dilancarkan pada bulan Januari awal tahun ini ditawarkan pada harga RM269,800.

Termasuk dalam harga tersebut adalah jaminan waranti kenderaan asas 6-tahun tanpa had batuan,  jaminan waranti bateri hibrid, motor elektrik dan unit kawalan motor elektrik selama 8-tahun atau 180,000KM, pakej servis percuma (termasuk alat ganti dan upah buruh) selama 5-tahun, dan khidmat telematik kenderaan percuma selama 5-tahun.

Tidak seperti kembar PHEV yang disebut, varian HEV ini tidak perlu disambung pada pengecas luaran.

Perbezaan ketara boleh dilihat melalui spesifikasi mekanikal di mana varian ini dilengkapi tren kuasa Hi4 HEV. Pakej ini merangkumi enjin 2.0-liter 4-silinder turbo petrol, motor elektrik yang diintegrasikan pada gandar hadapan bersama satu lagi motor elektrik pada gandar belakang, pek bateri 1.67kWj, serta transmisi khas hibrid (DHT) 4-kelajuan.

Setup ini menjana output keseluruhan 358PS dan 782Nm untuk mebolehkan pecutan 0-100km/j dalam 7.5 saat. Tahap kecekapan bahan api juga cukup tinggi dengan purata penggunaan serendah 6.5 liter/100KM untuk membolehkan jarak gerak maksimum gabungan petrol-elektrik sejauh 718KM (WLTP).

Kelengkapan dan ciri-ciri mewah varian HEV ini dikongsi sama dengan varian PHEV. Ini termasuk pakej keselamatan dan bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2. Empat pilihan warna eksterior, manakala kemasan kabin dan upholsteri tempat duduk varian ini tampil dalam warna hitam (varian PHEV diberi kemasan dan upholsteri warna coklat).

Kembali ke lamanTekan Habis