INDUSTRI

GWM MALAYSIA RASMI BUKA PUSAT 1S+2S & 3S BAHARU DI SELANGOR & JOHOR

15 Oct 2026
GWM MALAYSIA RASMI BUKA PUSAT 1S+2S & 3S BAHARU DI SELANGOR & JOHOR
1 / 8

Baru-baru ini, GWM Malaysia telah dedah perkembangan baharu dalam rangkaian pusat jualan dan servisnya. Tambahan baharu pada rangkaian ini adalah sebuah pusat 1S+2S baharu di Selangor dan sebuah pusat 3S di Johor.

 

PUSAT 1S+2S BAHARU DI SERI KEMBANGAN, SELANGOR

Bermula di negeri Selangor dahulu, GWM Malaysia telah rasmikan pembukaan sebuah bilik pameran (1S) yang terletak di Equine Park, Seri Kembangan. Cawangan ini dikendalikan pengedar sah Golden Admiral Motors Sdn Bhd, dan ia disokong dengan sebuah pusat servis dan jualan alat ganti (2S) yang terletak di lokasi berdekatannya.

Pusat jualan berkeluasan sekitar 5,770 kaki persegi ini beroperasi Isnin hingga Sabtu dari 9AM ke 7PM, dan dari 10AM ke 5PM setiap hari Ahad. Bilik pameran ini mampu mempamer tujuh kenderaan baharu serentak. Ia turut tampil dengan sebuah ruang penyerahan kenderaan, ruang menunggu untuk pelanggan dan ruang pameran tambahan di kawasan terbuka untuk pandu uji.

Pusat 2S yang menyokong bilik pameran ini pula dilengkapi empat ruang kerja lengkap dengan pengangkat kenderaan, peralatan untuk kerja-kerja diagnostik, serta khidmat penjajaran dan imbangan roda. Pusat servis ini beroperasi dari 8.30AM hingga 5.30PM Isnin hingga Jumaat, dari pukul 8.30AM hingga 12.30PM pada hari Sabtu, dan ia tutup setiap hari Ahad.

 

CAWANGAN 3S BAHARU DI SKUDAI, JOHOR

Beralih ke negeri Johor pula dan tambahan baharu pada jaringan jenama GWM Malaysia di sini pula tampil dalam bentuk pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) penuh di daerah Skudai. Pusat 3S ini dikendalikan oleh pengedar sah Auto Elegance Sdh Bhd, dan ia berkeluasan 22,006 kaki persegi.

Bagi bahagian bilik pamerannya, sebanyak lima kenderaan boleh dipamerkan serentak di sini. Bahagian ini juga dilengkapi ang istirehat dan juga ruang penyerahan kereta baharu khas. Bilik pameran ini beroperasi setiap hari dari 9AM ke 6PM. Menarik sekali, cawangan 3S ini juga dilengkapi dengan beberapa pengecas kenderaan elektrik (EV) ayng tersedia di perkarangannya.

Bahagian pusat servis cawangan ini pula tampil dengan tiga ruang kerja yang mampu menerima sehingga 150 kenderaan setiap bulan. Ia beroperasi dari pukul 9AM hingga 6PM Isnin hingga Jumaat, dan dari 9AM hingga 1PM pada hari Sabtu. Pusat servis ini ditutup pada hari Ahad.

 

JARINGAN LEBIH 40 CAWANGAN DI SELURUH NEGARA

Dengan dua cawangan baharu ini, GWM Malaysia kini lihat lebih dari 40 cawangan sah bagi rangkaian pengedarannya di seluruh Malaysia. Perkembangan jaringan ini bakal mengukuhkan lagi posisi jenama GWM dalam pasaran tempatan di samping persediaan syarikat itu untuk melancar dua tawaran baharu – Ora 5 HEV dan Wey G9 Hi4 HEV.

Pada masa yang sama, GWM Malaysia turut memaklumkan ia telah merekodkan penghantaran sebanyak 5,165 buah kenderaan setakat pengakhiran suku ketiga tahun ini. Angka tersebut menandakan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 33%.

 

Kembali ke lamanTekan Habis