GWM ORA 5 HEV DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – DARI RM115,000*
Dipertontonkan awal semasa KLIMS 2026, tawaran crossover tenaga baharu GWM Ora 5 HEV kini semakin hampir ke pelancaran rasminya. Awal minggu ini, GWM Malaysia telah rasmi umumkan tempahan untuk pengganti model Ora Good Cat ini sudah buka.
Para pembeli boleh membuat tempahan awal di mana-mana bilik pameran rasmi GWM seluruh negara bermula dari 5 Okt 2026. GWM Malaysia juga menyatakan harga anggaran crossover SUV kompak ini bermula dari RM115,000. Harga jualan akhir dan spesifikasi lengkap untuk pasaran Malaysia akan diumumkan semasa pelancaran rasminya nanti.
Tidak seperti model Ora Good Cat yang ia mengganti yang merupakan sebuah tawaran elektrik penuh (EV), Ora 5 HEV untuk pasaran Malaysia akan tiba sebagai tawaran yang dipacu tren kuasa hibrid Hi2 yang dibangunkan GWM.
Pakej tersebut merangkumi enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang digandingkan dengan motor elektrik dan pek bateri kompak. Selain output keseluruhan 223PS dan 476Nm, GWM mendakwa pakej ini mempunyai tahap kecekapan bahan api serendah 4.4 liter/100KM, serta jarak gerak gabungan petrol-elektrik melebihi 1,100KM.
Seperti model EV penuh ia mengganti, Tekan Habis difahamkan Or 5 HEV ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan sebagai model import penuh (CBU) yang dibina oleh GWM di kilangnya yang terletak di Thailand – barisan pemasangan Ora Good Cat EV di situ telahpun digantikan dengan operasi pemasangan Ora 5 HEV.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia Roslan Abdullah juga berkata GWM Malaysia akan terus mengembangkan pilihan teknologi tren kuasanya yang kini sudah merangkumi hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV).
Beliau turut menjelaskan bahawa Ora 5 HEV akan menambah pilihan SUV kompak pada barisan model GWM Malaysia, di samping menjadikan teknologi kenderaan tenaga baharu lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.






















