Setelah membuat tampilan awal di KLIM 2026 pada bulan Jun lalu, GWM Ora 5 HEV sekali lagi tampil melalui satu lagi preview khas untuk ahli media tempatan. Kali ini, GWM Malaysia telah sahkan spesifikasi teknikalnya juga.
TREN KUASA HIBRID H2
Terus ke bahagian teknikal dan, tidak seperti model Ora Good Cat yang ditawarkan sebelum ini, crossover kompak baharu yang mengganti EV tersebut akan dipasarkan di Malaysia dengan tren kuasa hibrid yang dikenali sebagai H2 Intelligent Hybrid Technology.
Dibangunkan GWM sendiri, pakej ini merangkumi sebuan enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol, transmisi khas hibrid (dedicated hybrid transmission – DHT) dua kelajuan, motor elektrik bersepadu (integrated), serta pek bateri kompak 1.09kWj. Output keseluruhan setup ini adalah 223PS dan 476Nm, dan ia mampu mencapai pecutan 0-100km/j dalam 7.7 saat.
Dengan tren kuasa yang disebut tadi, GWM mendakwa Ora 5 HEV mampu mencapai kecekapan bahan api yang cukup tinggi. Malah, jenama tersebut menegaskan kebolehan tren kuasa ini mencatat purata penggunaan bahan api gabungan serendah 4.4 liter/100km, justeru menjanjikan jarak gerak maksimum melebihi 1,100KM dengan setiap pengisian tangki penuh.
REKA BENTUK YANG MEMENANG ANUGERAH
Selain spesifikasi mekanikal, GWM Malaysia juga ambil kesempatan untuk ketengahkan kosep reka bentuk crossover kompak ini. Menurut jenama itu, Ora 5 HEV direka mengguna falsafah “Born From Nature · Made for the City”. Ini nyata melalui garisan badan yang lebih lembut yang juga digabungkan dengan bentuk sebuah crossover untuk kegunaan bandar.
Menarik sekali, rekaan ini telah memenangi anugerah 2025 Design of the Year pada London Design Awards. GWM jugas tambah Ora 5 HEV merupakan tawaran pertamanya yang menerima anugerah tertinggi pertandingan berkenaan.
Dari segi dimensi pula, Ora 5 HEV ini berukur 4,471mm panjang, 1,833mm lebar dan 1,641mm tinggi, manakala jarak antara rodanya adalah 2,720mm. Dengan ini, GWM telah posisikan Ora 5 HEV sebagai sebuah tawaran crossover kompak yang menggabungkan praktikaliti untuk kegunaan bandar dengan gaya tersendirinya yang lebih menyerlah.
HARGA DAN BUTIRAN LAIN AKAN DIUMUMKAN
Buat masa ini, GWM Malaysia tidak mengesahkan harga, varian mahupun tarikh rasmi pelancaran Ora 5 HEV untuk pasaran Malaysia.
Spesifikasi yang dipertontonkan juga masih tertakluk kepada perubahan, manakala sebahagian ciri atau aksesori yang ditunjukkan mungkin tidak termasuk dalam spesifikasi standard bagi pasaran tempatan.





















