Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

GWM MALAYSIA CATAT PERTUMBUHAN 42.4% SEPARUH PERTAMA 2026

30 Jul 2026
Gambar arkib
Gambar arkib
1 / 5

GWM Malaysia mengumumkan penghantaran sebanyak 3,166 unit pada separuh pertama 2026 (1H2026), atau pertumbuhan sebanyak 42.4% - prestasi terbaik bagi syarikat itu setakat ini. 

Dalam sidang media oleh syarikat itu hari ini, GWM berkata pertumbuhan ini didorong oleh pelbagai portfolio model termasuk WEY G9 Hi4 PHEV, HAVAL H6 HEV dan juga ORA GOOD CAT EV. Model WEY G9 mengekalkan kedudukan sebagai MPV terlaris, dan ORA GOOD CAT pula menggandakan jualan suku tahunan sebanyak 93%.

Stan Li Hao, Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia berkata, “Prestasi separuh pertama terbaik dalam sejarah syarikat ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap produk, teknologi dan komitmen jangka panjang GWM di pasaran tempatan.”

Syarikat itu juga meletakkan keyakinan prestasi bagi baki tahun 2026 didorong oleh peningkatan penerimaan terhadap teknologi hibrid, barisan model syarikat itu serta dasar kerajaan yang menyokong pertumbuhan industri.

Ketua Pegawai Operasi GWM, Roslan Abdullah juga berkata syarikat itu menyambut baik penangguhan pelaksanaan PU(A) 402 - iaitu peraturan mengenai cukai eksais di bawah kiraan nilai pasaran terbuka (OMV) - membolehkan harga kenderaan sedia ada dikekalkan bagi tempoh yang lebih panjang. Pelaksanaan PU(A) 402 kini telah ditangguhkan sehingga Januari 2027.

Berkenaan jangkaan dalam 2H2026, syarikat itu juga sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan model-model baharu - ORA 5 HEV dan HAVAL H7. GWM juga berkata model TANK 300 HEV dijangka mendapat sambutan apabila pembeli menerima mobiliti hibrid dengan lebih meluas.

Pada masa yang sama, GWM Malaysia dan Touch ’n Go memeterai persefahaman strategik dalam menyediakan pengalaman pembayaran tol yang lancar ke arah pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF).

Setiap kenderaan baharu GWM yang ditempah dan didaftarkan mulai 1 Ogos 2026 akan hadir dengan tag RFID berjenama Touch ’n Go x GWM yang dipasang terlebih dahulu atau disediakan sebagai kelengkapan standard.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis