TEMPAHAN KINI BUKA UNTUK GWM WEY G9 HI4 HEV
GWM Malaysia telah rasmi umumkan bahawa tempahan kini sudah buka untuk lagi satu tawaran kenderaan tenaga baharu, kali ini dalam bentuk MPV mewah pula melalui GWM Wey G9 Hi4 HEV.
Model tersebut adalah varian tambahan baru buat barisan model MPV mewah tenaga baharu Wey G9 yang kini sudah dipasarkan jenama tersebut dalam versi Hi4 PHEV (plug-in hybrid) sejak dilancar tahun lepas.
Dipasang secara tempatan (CKD) oleh EPMB di Pegoh, Melaka, sambutan bagi varian PHEV tersebut cukup meriah. Sejak pelancarannya, GWM Malaysia berkata hampir 2,000 unit model tersebut sudah diserah kepada pembeli tempatan.
Dengan pengumuman baharu ini, pembeli kini ditawarkan dengan lebih fleksibiliti dengan adanya pilihan varian hibrid (HEV) pula. Spesifikasi awal juga telah didedah GWM Malaysia melalui pengumuman tersebut.
Dalam versi Hi4 HEV, MPV mewah ini mengguna enjin 2.0-litre 4-silinder turbo petrol yang digandingkan bersama dua motor elektrik, pek bateri berkapasiti 1.67kWj, serta padanan transmisi khusus hybrid (Dedicated Hybrid Transmission – DHT) 4-kelajuan automatik. Pakej tersebut menghasil 358PS dan 782Nm.
Sebagai peringatan, versi Hi4 PHEV pula mengguna enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang digandingkan dengan dua motor elektrik, pek bateri 44.2kWj, serta transmisi DHT automatik 4-kelajuan. Pakej ini menjana output lebih tinggi pada 442PS dan 642Nm, dan ia mempunyai jarak gerak elektrik sahaja sejauh 170KM (NEDC).
Selain spesifikasi mekanikal berlainan, varian Hi4 HEV ini dijangka akan kongsi kelengkapan mewah, ciri-ciri keselamatan, serta fungsi-fungsi teknologi canggih seperti ‘kembar’ Hi4 PHEV yang disebut tadi. Varian baharu ini juga dijangka akan dibina secara CKD oleh EPMB di kilang Pegoh yang sama dengan varian Hi4 PHEV juga.
Setakat ini, GWM Malaysia tidak memberi petanda tentang harga atau tarikh pelancaran rasminya. Kami akan ingatkan anda bahawa versi Hi4 PHEV sedia ada di dalam pasaran tempatan kini ditawarkan pada RM269,900.

