BYD ATTO 3 PERFORMANCE TIBA – 69 UNIT SAHAJA, RM149,800
BYD Sime Motors telah rasmi perkenalan satu varian edisi terhad bagi model crossover SUV elektrik penuh (EV) utamanya iaitu Atto 3. Terhad pada 69 unit sahaja ialah BYD Atto 3 Performance.
Angka unit terhad itu dipilih sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 tahun ini. Menarik sekali, varian khas ini tampil sebagai versi paling berkuasa dan terpantas pernah ditawarkan pada pembeli tempatan.
Berasaskan model Atto 3 versi kemas kini yang dilancarkan awal tahun ini, varian Performance ini mengguna setup dwi-motor dan pacuan semua roda (all-wheel-drive – AWD) yang menghasil 443HP dan 560Nm untuk membolehkan pecutan 0-100km/j hanya dalam 4 saat.
Sebagai perbandingan, Atto 3 varian Premium melihat motor elektrik belakang tunggalnya menjana 308HP dan 380Nm, manakala Atto 3 varian Ultra pula mengguna motor elektrik hadapa yang menghasil 201Hp dan 310Nm.
Beralih ke pek bateri pula, varian Performance ini juga mengguna pek bateri ‘Blade’ LFP berkapasiti 74.88kWj, dan ia menjanjikan jarak gerak maksimum NEDC 530KM. Pek tersebut juga menyokong pengecasan pantas DC setinggi 220kW – sama seperti varian Ultra yang disebut tadi.
Selain prestasi lebih tinggi, varian Performance ini juga diberi beberapa kelengkapan lebih seperti Windscreen Head-Up Display (W-HUD), serta peti sejuk terbina dalam kabin yang mempunyai fungsi penyejukan dan pemanasan.
Kelengkapan premium yang kekal termasuk skrin sentuh infotainmen 15.6 inci, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W, bumbung suria panorama dengan gelangsar elektrik, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan pelarasan elektrik, serta pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2+.
Terus ke harga, setiap unit 2026 BYD Atto 3 Performance ini ditawarkan pada RM149,800. Termasuk dalam harga itu ialah jaminan waranti kenderaan asas 6-tahun atau 150,000KM, jaminan waranti pek bateri voltan tinggi dan unit pacuan selama 8-tahun atau 160,000KM, serta adapter vehicle-to-load (V2L) percuma.
Sempena pelancaran edisi khas ini, BYD Sime Motors akan menawar pembeli awalnya dengan dua pilihan pakej ganjaran:
- Pakej A: Pengecas wallbox bersama pemasangan standard dan nilai overtrade sehingga RM6,000.
- Pakej B: Pakej servis standard selama enam tahun dan nilai overtrade sehingga RM5,000.








