Berita baik bagi pemilik kenderaan elektrik (EV) mewah jenama Zeekr tempatan. Baru-baru ini, Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) telam umumkan sebuah kerjasama baharu bersama pengendali titik pengecasan (charge point operator – CPO) tempatan JomCharge untuk rangkaian pengecasan ultra-pantas Zeekr Power.
Menerusi kerjasama ini, pemilik Zeekr tempatan yang kini sudah berjumlah lebih 5,000 unit, kini layak terima keahlian JomCharge Platinum secara percuma yang sah sehingga 31 Disember 2026. Keahlian tersebut menawarkan diskaun 25% bagi pengecasan di lebih 1,000 titik pengecasan milik JomCharge di seluruh negara.
Kerjasama baharu dengan JomCharge ini juga menyusuli pengenalan kadar pengecasan eksklusif untuk pemilik Zeekr di stesen DC Handal yang telah diumumkan sebelum ini.
Tambah Zeekr Malaysia, kerjasama strategik dengan pengendali pengecasan merupakan sebahagian usaha jenama itu untuk meningkatkan pengalaman pemilikan menerusi kemudahan sokongan yang digunakan pelanggan setiap hari.
Bagi pemilik Zeekr yang ingin menikmati manfaat baharu berkenaan, mereka perlu mendaftar untuk mendapatkan keahlian JomCharge Platinum percuma. Langkah proses pendaftaran adalah seperti berikut:
1. Lengkapkan borang pendaftaran atas talian yang disediakan Zeekr Malaysia.
2. Pastikan alamat e-mel yang digunakan dalam borang pendaftaran sama dengan alamat e-mel akaun JomCharge pemilik.
3. JomCharge akan membuat pengesahan status pemilikan kenderaan Zeekr.
4. Keahlian Platinum akan diaktifkan selepas proses pengesahan berjaya.
Selepas diaktifkan, pemilik yang layak akan menikmati diskaun pengecasan sebanyak 25% di lebih 1,000 titik pengecasan JomCharge di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2026.

