Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) telah memperluaskan kadar pengecasan DC pantas eksklusif RM1.20/kWh kepada pemiliknya, dan kadar ini sah bagi para pemilik tersebut di semua stesen pengecasan DC Handal di seluruh negara.
Sebelum ini, kadar istimewa ini hanya ditawarkan di beberapa lokasi terpilih Zeekr Power x DC Handal. Namun menerusi peluasan terbaharu ini, pemilik Zeekr boleh menikmati kadar sama di semua stesen DC Handal di Malaysia.
Langkah tiba susulan kepada perkembangan komuniti pemilik tempatan EV jenama itu. Baru-baru ini, Zeekr Malaysia juga telah dedah jumlah kenderaannya yang telah diserak ke pemilik tempatan sudah mencapai lebih 5,000 unit sejak ia mula beroperasi.
Menurut Eddy Lu, pengurus besar Zeekr Malaysia, peluasan kadar khas tersebut bertujuan unutuk memastikan manfaat yang diterima pelanggan berkembang seiring pertambahan jumlah pemilik Zeekr.
Pada masa sama, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama secara strategik dengan pengendali pusat pengecasan (Charge Point Operator – CPO) untuk meningkatkan akses kepada kemudahan pengecasan ultra pantas di Malaysia.
Selain kerjasama dengan DC Handal, Zeekr Malaysia turut mempunyai perancangan lebih besar menerusi ekosistem Zeekr Power. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, syarikat itu telah sasar pembangunan sebanyak 30 stesen pengecasan Zeekr Power di seluruh negara.
Usaha ini bakal meningkatkan lagi kemudahan pengecasan bagi pemiliknya, serta menyediakan akses yang lebih luas bersama nilai pemilikan jangka panjang yang lebih baik.
Bagi menikmati kadar khas RM1.20/kWh di stesen DC Handal, pemilik Zeekr perlu memuat turun aplikasi ChargEV dan mendaftar akaun terlebih dahulu. Selepas itu, pemilik perlu lengkapkan borang pendaftaran yang disediakan dan pastikan alamat e-mel yang digunakan dalam borang ini sama dengan alamat e-mel pada akaun ChargEV.
Dengan peluasan ini, pemilik Zeekr kini diber lebih banyak pilihan untuk menggunakan pengecas pantas DC pada kadar istimewa tanpa terhad kepada lokasi rangkaian Zeekr Power x DC Handal tertentu sahaja.

