INDUSTRI

XPENG KINI BERGERAK SENDIRI DI MALAYSIA

26 Nov 2026
XPENG KINI BERGERAK SENDIRI DI MALAYSIA
1 / 3

Jenama Xpeng telah rasmi umumkan peralihan ke operasi model ‘National Sales Company’ baharu yang dikenali sebagai Xpeng Malaysia. Secara ringkas, jenama tersebut telah mengambil alih operasi perniagaannya di Malaysia secara langsung.

Pengumuman ini juga menyusul selepas Bermaz Xpeng Sdn Bhd – anak syarikat Bermaz Auto (BAuto) – mengumumkan kerjasamanya dengan jenama tersebut sebagai pengedar dan rakan jualan bersama rasmi telah dihentikan awal bulan ini.

Menerusi perubahan operasi ini, Xpeng Malaysia akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengedaran kenderaan, pengurusan jenama, perkhidmatan selepas jualan serta rangkaian pengedar sahnya di seluruh negara.

Selain merakamkan penghargaan kepada BAuto atas usahanya memperkenalkan serta membina asas yang kukuh untuk jenama tersebut di Malaysia, Xpeng Malaysia juga memberi jaminan bahawa semua waranti kenderaan dan bateri voltan tinggi, pakej servis, kemas kini perisian serta sokongan alat ganti sedia ada akan terus dikekalkan.

Dengan itu, pemilik sedia ada akan terus menerima khidmat selepas jualan melalui rangkaian pusat 3S dan 4S sahnya di seluruh negara. Bagi pelanggan yang telah membuat tempahan, semua pesanan dan penghantaran kenderaan yang dijadualkan akan juga diteruskan seperti dirancang.

Tambah Xpeng lagi, ia juga berkata kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam proses pemindahan rekod pelanggan serta urusan pendaftaran kenderaan.

Menurut Xpeng, langkah ini mencerminkan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia sebagai salah satu pasaran strategik bagi pembangunan mobiliti elektrik pintar dan pemasangan kenderaan tempatan.

Xpeng turut menyatakan komitmennya untuk menilai peluang bagi memperluaskan skala pemasangan secara tempatan (CKD), selaras dengan agenda pembangunan industri automotif negara. Setakat ini, dua model elektrik penuh (EV) utama jenama tersebut – crossover G6 dan MPV mewah X9 – dihasilkan melalui operasi CKD bersama rakan pemasang EPMB di Pegoh, Melaka.

Turut dinyatakan Xpeng dalam pengumumannya adalah rancangannya untuk memperluaskan lagi rangkaian pusat 3S dan 4S sahnya di seluruh negara, serta perkembangan barisan produknya dengan pengenalan model-model baharu dalam masa terdekat.

Kembali ke lamanTekan Habis