XPENG G6 YANG DIPASANG TEMPATAN MULA DITERIMA PELANGGAN
Kelompok pertama bagi XPENG G6 yang dipasang secara tempatan telah dihantar kepada pelanggan, dan disampaikan oleh Bermaz XPeng Sdn Bhd dalam satu upacara yang dianjurkan di Menara Kuala Lumpur, minggu lepas.
XPENG G6 yang dipasang di kilang EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka mempunyai spesifikasi yang sama seperti yang diimport sebelum ini, yang dibina di atas platform 800V dengan kadar pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam masa 12 minit sahaja.
Syarikat itu juga mengumumkan dalam siaran kepada media bahawa model X9 juga telah mula dihantar kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Semasa upacara penyampaian tempoh hari, Pengurus Negara XPENG Malaysia, Adrian Loh juga menerangkan syarikat itu meletakkan kebolehan kecerdasan buatan (AI) sebagai satu tonggak utama dalam pembangunan teknologi.
Selain kenderaan yang membuat pelbagai keputusan berdasarkan AI di dalam teknologi seperti navigasi, tatasusunan sensor dan sistem operasi, syarikat itu juga berkecimpung dalam teknologi robotik humanoid dan penerbangan paras rendah (low altitude aviation).
Adrian juga berkata sehingga kini, XPENG telah menjual 429,445 unit kenderaan secara global di 61 negara di seluruh dunia.
Beliau juga berkata bahawa syarikat itu juga menempatkan cawangan pengedar di bandar-bandar elektromobiliti utama di Malaysia, termasuk Butterworth, Ipoh, Glenmarie, Klang, Nilai, dan bakal membuka rangkaian baharu di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Kuching pada tahun ini.


