VOLVO EX30 CROSS COUNTRY TIBA – RM218,888
Barisan model crossover elektrik Volvo EX30 telah dikemaskini oleh Volvo Car Malaysia (VCM). Tampil untuk pasaran Malaysia kini ialah Volvo EX30 Cross Country baharu.
Tidak seperti model EX30 yang ramai sudah kenal, versi Cross Country ini tiba dengan sentuhan-sentuhan unik. Termasuk di sini ialah jarak kelegaan tanah (ground clrearance) yang lebih tinggi, setup dwi-motor dengan pacuan semua-roda (all-wheel-drive – AWD), serta kemasan bergaya lebih lasak.
Varian ini mengganti EX30 Ultra Twin Performance sebagai tawaran versi dwi-motor sulung barisan model EX30 untuk pasaran Malaysia.
Setup dwi-motor yang disebut tadi menghasil 428HP dan 543Nm untuk membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai hanya dalam 3.7 saat. Setup tersebut dikuasai pek bateri NMC 69kWj yang menjanjikan jarak geram maksimum WLTP 437KM, serta sokongan pengecasan pantas DC 175kW (10-80% dalam 27 minit).
Selain jarak kelegaan tanah 19MM lebih tinggi dari EX30 versi biasa, varian Cross Country ini juga diberi talaan casis berbeza, serta rin 19-inci lima jejari. Menurut Volvo, gubahan ini memberi crossover elektrik ini dipandu di luar jalan raya (off road) dan menyerap gangguan daripada permukaan jalan.
Dari segi penggayaan, versi Cross Country ini diserlahkan dengan skid plate tambahan, rekaan bampar bawah yang dikemasi dalam warna hitam matte, serta set pelindung gerbang roda (wheel arch). Ia juga diberi lambang Cross Country pada tiang C, manakala logo CC juga timbul di belakang dan pelindung belakang berkemasan kilat.
Beralih ke kabin, EX30 Cross Country tampil dengan kemasan gabungan fabrik tenunan kitar semula berwarna arang dan upholsteri Nordico berasaskan bahan bio, panel hiasan denim dan panel corong pendingin hawa berwarna biru. Melengkapkan rekaan kabin tema minimalis Scandinavia ini adalah sebuah bumbung kaca panoramik.
Tipikal bagi jenama mewah Sweden ini, tahap kelengkapan teknologi dan keselamatan canggih tetap tinggi. Selain pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2+, sorotan utama disini jugas merangkumi skrin infotainmen tengah 12.3 inci dengan Google Assistant, Google Maps, dan pelbagai aplikasi menerusi Google Play Store.
Seperti EX30 biasa, varian Cross Country ini juga ditawarkan dengan pakej sambungan Volvo Connect Plus percuma selama lima tahun sebelum pembaharuan langganan diperlukan. Lengkap di sini juga adalah sistem audio premium Harman Kardon, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (wireless).
Apa yang menarik juga di sini adalah barisan aksesori tambahan yang tersedia. Termasuk dalam katalog tersebut adalah penghadang lumpur (mud flap), set rak bumbung bersama bakul kargo, dan juga rak basikal. Bagi warna ekterior pula, varian Cross Country ini tampiul dengan 3 pilihan - Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.
Dipasang secara tempatan (CKD) oleh VCM, Volvo EX30 Cross Country kini buka untuk tempahan melalui pengedar sah pada harga asas RM218,888 tanpa insurans. Termasuk di sini adalah jaminan waranti kenderaan asas 5-tahun tanpa had batuan, serta waranti pek bateri voltan tinggi selama 8-tahun atau 160,000KM.
Sempena pelancaran rasmi model baharu ini, VCM turut menawar ganjaran khas buat pembeli 100 unit pertama dengan rebat tunai RM12,000, pengecas rumah pintar Volvo Wallbox percuma bernilai RM3,990, serta set rak bumbung dan bakul kargo percuma masing-masing bernilai RM2,098 dan RM3,680.
VOLVO EX30 ULTRA – KINI RM198,888 SAHAJA
VCM turut ambil kesempatan mengumumkan harga baharu bagi EX30 Ultra versi kemas kini tahun 2027. Tersedia dalam warna Crystal White, Vapour Grey, Cloud Blue dan Onyx Black, varian ini tersedia pada RM198,888 tanpa insurans.





















