PRODUK

VOLVO EX90 DIPERBAHARUI, KINI CKD JUGA – RM428,888

09 Sep 2026
VOLVO EX90 DIPERBAHARUI, KINI CKD JUGA – RM428,888
1 / 19

Volvo Car Malaysia (VCM) telah rasmi perkenalkan model SUV elektrik penuh (EV) EX90 versi kemas kini terbaru untuk pasaran tempatan. Menarik sekali, versi ini juga kini dipasang secara tempatan (CKD) oleh VCM di Shah Alam, Selangor.

Tawaran EV SUV mewah dari jenama Sweden ini kekal tampil dalam varian Ultra Twin dengan susun atur 7 tempat duduk tiga barisan, tetapi rombakan besar telah berlaku pada platform seni-binanya serta beberapa teknologi utama yang dilengkapi.

Kami mula dengan platformnya yang kini berstatus 800-volt. Seni-bina baharu ini mengganti versi 400-volt yang digunakan sebelum ini, dan ia kini menyokong pengecasan DC pantas sehingga 350kW untuk pengecasan 10-80% dalam 22 minit.

Bagi pengguna yang mengecas melalui pengecas DC 50kW, pengecasan 10-80% mengambil kira-kira 92 minit. Kekal di sini ialah pengecasan AC 11kW, dan pengecasan penuh dari 0% melaluinya mengambil sekitar 10 jam.

Selain kelajuan pengecasan DC lebih pantas, seni-bina dan sistem baharu itu turut membantu mengurangkan berat, penghasilan haba ketika mengecas serta kebergantungan terhadap penggunaan tembaga.

Turut serta dengan platform baharu ini adalah pek bateri lithium-ion Nickel-rich NCM berkapasiti 103kWj. Menurut Volvo, pek tersebut menjanjikan jarak gerak WLTP maksimum sejauh 617KM dengan setiap pengecasan penuh.

Beralih ke setup tren kuasa, EX90 versi terbaru ni kekal dengan setup dwi-motor bersama pacuan semua roda (AWD) seperti dahulu, tetapi ia kini menghasil 680PS dan 870Nm. Dengan itu, pecutan 0-100km/j dicapai kini hanya dalam 4.2 saat.

Satu lagi perubahan besar di sini ialah perkakasan pengkomputeran yang lebih berkuasa melalui komputer teras Nvidia Drive AGX Orin untuk menguruskan pelbagai fungsi penting termasuk ciri keselamatan aktif, sensor kenderaan serta pengurusan bateri.

Pengkomputeran pantas baharu itu digabungkan dengan teknologi Superset Volvo yang membolehkan kemas kini perisian over-the-air (OTA) dilakukan. Justeru, beberapa fungsi kenderaan boleh terus menerima penambahbaikan sepanjang tempoh pemilikan.

Beralih ke keselamatan, EX90 versi terbaru ini mengguna pendekatan Safe Space Technology Volvo. Sistem ini menggabung radar, sensor dan sensor ultrasonik bagi memantau keadaan sekeliling.

Turut disertai di sini ialah Driver Understanding System, Occupant Sensing System canggih, pakej bantuan pemanduan (ADAS) Pilot Assist yang membolehkan panduan separa-autonomi Tahap 2+, dan kamera parkir 360-darjah dengan paparan 3D.

Bagi kelengkapan mewah kabin pula, model EX90 terbaru ini tampil dengan tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan dan urutan, air-cond empat-zon, bumbung electrochromic, serta sistem audio 25-speaker Bowers & Wilkins.

Paparan tersedia termasuk panel meter digital 9-inci berserta paparan head-up display (HUD), serta skrin sentuh infotainmen 14.5-inci tersedia dengan fungsi Google Services dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Tersedia dalam lima pilihan warna eksterior (Onyx Black, Sand Dune, Crystal White, Vapour Grey dan Mulberry Red), tawaran Volvo EX90 Ultra Twin CKD terbaru ini kini buka untuk tempahan pada harga asas RM428,888 tanpa insurans.

Seperti biasa, harga tersebut termasuk jaminan waranti kenderaan asas 5-tahun tanpa had batuan, serta jaminan waranti bateri voltan tinggi selama 8-tahun atau 160,000KM.

Sempena pelancaran model terbaru ini, VCM akan memberi ganjaran khas dalam bentuk pengecas rumah pintar Volvo Wallbox percuma bernilai RM3,990, serta rebat tunai khas RM25,000. Dua-dua ganjaran ini adalah eksklusif buat pembeli 100 unit pertama sahaja.

Kembali ke lamanTekan Habis