SAH: PROTON AMA 02 AKAN TERIMA TREN KUASA HIBRID i-HEV
Awal minggu ini, Proton telah mengesahkan unit tren kuasa hibrid terbaharunya yang dikenali sebagai FutureMotion HEV semasa tayangan pertamanya di KLIMS 2026 dan kemudian Proton HEV pula di GATE 2026, kini dikenali secara rasmi sebagai i-HEV bagi versi pengilangannya.
Penjenamaan itu selari dengan nama yang digunakan oleh rakan niaganya Geely. Menarik sekali, Proton juga telah mengesahkan rancangannya untuk membekal tren kuasa i-HEV ini untuk model AMA 02 baharunya yang kami baru sahaja intip awal minggu ini.
Crossover SUV kompak yang kongsi platform sama dengan model Saga MC3 itu bakal dilancarkan awal tahun depan (2027).bMenerusi kenyataan rasminya, Proton turut mendedahkan beberapa angka rasmi untuk pakej tersebut.
Secara asasnya, tren kuasa Proton i-HEV ini menggandingkan sebuah enjin petrol dan juga sebuah transmisi khusus hibrid (DHT) yang merangkumi dua buah motor elektrik.
Untuk sistem ini, roda bukan hanya digerakkan oleh motor elektrik, sebaliknya pacuan tersebut juga boleh dibantu oleh enjin petrol. Malah, dalam situasi tertentu, roda juga boleh dipacu hanya dengan enjin petrol sahaja sepenuhnya, atau dipacu mengguna motor elektrik sepenuhnya sementara enjin petrol dimatikan terus.
Secara ringkas, sistem Proton i-HEV ini boleh dikatakan berfungsi hampir sama seperti tren kuasa yang digunakan Proton e.MAS 7 PHEV, tetapi dengan bateri berkapasiti lebih kecil dan tanpa port pengecas seperti EV. Setakat ini, Geely sudahpun membekal tren kuasa i-HEV ini kepada beberapa model tertentu bermula tahun lalu (2025).
Semakan terperinci menunjukan pakej ini mengguna enjin 1.5-liter petrol dari keluarga BHE15 dalam varian NA. Walaupun dari keluarga yang sama dengan apa yang duganakan dalam Saga MC3, enjin sistem i-HEV ini mempunyai beberapa kelainan, malah ia sebenarnya lebih mirip dengan enjin 1.5-liter petrol NA yang digunakan model e.MAS 7 PHEV.
Proton juga mengesahkan enjin ini mampu menjana 111PS dan 136Nm. Output tersebut adalah sedikit rendah berbanding unit yang diguna Saga MC3. Ini kerana ia berfungsi sepenuhnya dengan kitaran Atkinson bersama setup satu mekanisme VVT, serta nisbah mampatan setinggi 14:1 dan keberkesanan haba pada kadar 46.% dengan penggunaan minyak pelincir gred 5W-30.
Seterusnya, enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi DHT satu kelajuan 11-dalam-1 yang juga d dimuatkan dua motor elektrik dalamnya. Motor pertama (P1) berfungsi sebagai stater-generator untuk menghidupkan enjin petrol dengan lancar tanpa terasa sebarang getaran, dan juga untuk menjana semula tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri hibrid ketika kereta membrek atau nyahpecut.
Motor elektrik kedua (P3) pula boleh terus memacu roda hadapan. Dengan klac dan set gear yang disediakan, ia juga boleh bersambung dengan enjin petrol untuk memacu roda bersama. Menurut Proton lagi, unit P3 ini mampu menghasil output setinggi 163 PS dan 220 Nm.
Selain itu, Proton juga mengesahkan dalam kenyataan yang sama bahawa unit rangkaian kuasa i-HEV ini dibekalkan dengan pek bateri 1.38kWj. Setup ini adalah sebuah sistem hibrid asli yang menggunakan bateri berkapasiti kecil, jadi ia tidak memerlukan port pengecas seperti kenderaan elektrik penuh (EV), mahupun plug-in hybrid (PHEV).
Tambah Proton lagi, setup tren kuasa i-HEV ini akan menampilkan empat mod pacuan (EV, Siri, Selari dan Pacuan Terus) yang boleh berubah secara automotik berdasarkan kelajuan kenderaan, keperluan kuasa serta keadaan bateri yang kesemuanya dikawal Modul Kawalan Kuasa (PCM).
Secara amnya, Mod EV melihat bateri membekalkan tenaga kepada motor pacuan (P3) dan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya apabila keadaan mengizinkan. Mod Siri pula menggunakan enjin petrol untuk menjana elektrik, sementara motor elektrik (P3) memacu roda sepenuhnya.
Bagi Mod Selari, enjin dan motor pacuan (P3) bekerja bersama untuk menggerakkan kenderaan. Apabila Mod Pacuan Terus diaktifkan, ini membolehkan enjin memacu roda secara mekanikal jika kiraan oleh PCM mendapati kaedah itu lebih cekap, contohnya seperti ketika bergerak pada kelajuan malar.
“Melalui sistem hibrid pintar i-HEV, tumpuan Proton adalah untuk menawarkan manfaat yang boleh difahami dan dirasai sendiri oleh pelanggan. Pada masa yang sama, pembangunan keupayaan tempatan dalam transmisi hibrid dan unit pacuan elektrik membantu membina kemahiran serta asas industri yang diperlukan Malaysia untuk menjadi peserta aktif dan hab serantau bagi pengeluaran serta pembangunan teknologi kenderaan masa hadapan,” ulas naib CEO Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa.








