PROTON SAGA MENANG ANUGERAH REKAAN, KOS SERVIS 5-TAHUN JUGA DIDEDAH
Minggu ini, Proton telah mengeluarkan dua siaran akhbar rasmi berkenaan model utamanya iaitu Saga. Perkembangan terbaru bagi model sedan tersebut melihat ia memenangi satu anugerah rekaan di samping pendedahan kos penyelenggaraan selama tempoh 5 tahun yang cukup mampu milik.
REKAAN JUARA ANUGERAH GODA 2026 DI CHINA
Kami mula dengan satu pengiktirafan antarabangsa yang baharu sahaja diraih Proton Saga. Khususnya, sedan tersebut telah memenangi Anugerah Produk bagi kategori Pengangkutan Pintar pada Golden Osmanthus Industrial Design Award (GODA) 2026 di China.
Anugerah menerusi laluan penyertaan ASEAN itu disampaikan sebagai penghargaan terhadap reka bentuk yang memenuhi keperluan pengguna dan pasaran serantau. Penilaian pertandingan itu meliputi kesesuaian reka bentuk, kebolehgunaan dan potensi sesuatu produk untuk memenuhi permintaan pasaran ASEAN.
Dalam pertandingan itu, Ketua Reka Bentuk Lanjutan Proton, Norhelmey Lobb bin Saad Lobb, telah membentangkan Saga kepada panel penilai antarabangsa ketika sesi penjurian secara langsung. Di sini, beliau mengetengahkan falsafah reka bentuk Saga, nilai yang ditawarkan kepada pembeli dan kesesuaiannya dengan pasaran sasaran.
Selain penampilan, panel tersebut telah meneliti potensi Saga untuk pasaran kenderaan panduan belah kiri (left-hand drive – LHD), serta keupayaannya untuk kekal bersaing seiring peralihan industri kepada kenderaan elektrik (EV). Dalam kategori sama, Proton Saga telah bersaing dengan produk jenama lain seperti Wuling dan Dongfeng.
Turut dinilai juri tersebut adalah kebolehlaksanaan produk dan potensi untuk dikomersialkan. Ini bermakna selain estetik, aspek praktikal dan kesesuaian penggunaan harian turut menjadi pertimbangan, terutamanya terhadap iklim, permintaan pasaran, tingkah laku pengguna dan budaya rantau ini.
Menurut Ketua Pereka Proton Design, Azlan Othman, anugerah ini adalah satu lagi pencapaian penting bagi Saga. Beliau tambah Proton Design terus memperhalusi perincian reka bentuk Saga sambil mengekalkan identiti asalnya. Ini turut disokong penambahbaikan teknologi dan keselamatan supaya ia kekal relevan pada pelanggan.
SERVIS 5-TAHUN SERENDAH RM3,357
Pada masa yang sama, Proton juga dedah anggaran kos penyelenggaraan berjadual 5-tahun bagi Saga bermula dari kadar serendah RM3,357. Angka ni dikemukakan melalui kajian dalaman yang dilaksanakan Proton.
Penilaian tersebut merangkumi kos servis tempoh 5-tahun atau jarak perjalanan 100,000KM. Termasuk di sini adalah alat ganti penyelenggaraan berjadual, penggantian yang ditetapkan, caj upah – termasuk tawaran caj upah servis percuma sebanyak tiga kali – dan cukai berkaitan.
Kedua-dua varian transmisi automatik 4-kelajuan (4AT) dan CVT mencatatkan kos penyelenggaraan 5-tahun lebih rendah berbanding satu model pesaing jenama nasional yang dijadikan penanda aras. Penjimatan bagi versi 4AT adalah sebanyak RM174, manakala versi CVT pula mencatat penjimatan sebanyak RM64 dalam kajian ini.
Dengan maklumat ini, Proton harap ia dapat membantu pelanggan merancang perbelanjaan sepanjang pemilikan kenderaan.





