PROTON UMUM X50 SPORT EDITION BAHARU, TEMPAHAN KINI BUKA
Proton telah rasmi umumkan tempahan kini buka untuk Proton X50 Sport Edition baharu awal hari ini. Edisi khas ini dibangunkan untuk meraih ulangtahun keenam model SUV segmen-B premium ini, dan ia tampil dengan 15 ciri-ciri naik taraf.
Proton pernah menawar edisi khas yang serupa buat model X50 sebelum ini, tetapi versi baharu yang diumumkan hari menandakan kali pertama pengeluar tersebut menghasil sebuah versi Sport Edition berasaskan model X50 facelift terbaru sekali ini.
Buat masa kini, Proton tidak menyatakan harga jualan rasmi ataupun jika peruntukan edisi khas ini akan dihadkan – Sport Edition versi sebelum ini hanya dihadkan kepada 1,000 unit sahaja.
Perubahan luaran X50 SE ini bertumpu pada penggunaan kemasan hitam di beberapa bahagian badan, dan ini dipadankan dengan aksen merah. Komponen yang terima kemasan hitam termasuk hiasan atas bahagian hadapan, kemasan bukaan sisi hadapan, hiasan bawah bumper dan kemasan bukaan sisi belakang.
Seterusnya, X50 Sport Edition ini juga menerima set rima aloi 18-inci warna hitam eksklusif. Sentuhan-sentuhan khas lain pada bahagian luaran juga termasuk skirting hadapan, sisi dan rekaan khas, serta tambahan lambang Sport Edition di pintu bonet belakangnya.
Tema hitam ini bersambung dalam kabin edisi kha sini yang kini dihiasi kemasan hitam dengan jahitan merah bagi stereng dan balutan tempat duduk. Khas di tempat duduk hadapan juga adalah sulaman lambang Sport Edition, manakala kemasan lantai juga diberi tema yang sama beserta tikar lantai jenis TPE yang ringan dan senang dibersih.
Selain gubahan estetik ini, tiada perubahan lain dari segi spesifikasi mekanikal dan tahap kelengkapan asas boleh kami lapor – dua-dua sudut ini mirip varian X50 Flagship yang edisi khas ini diasaskan atas.
Selain tren kuasa 1.5-liter i-GT 4-silinder turbo petrol dengan padanan transmisi 7-kelajuan DCT automatik yang menghasil 181PS dan 290Nm, kelengkapan utama dikongsi edisi khas ini dengan varian Flagship termasuk paparan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci dengan fungsi Proton Link 2.0 serta fungsi arahan suara dwi-bahasa “Hi Proton.”
Turut dikongsi adalah pakej ADAS Tahap 2 yang termasuk fungsi Auto Part Assist (APA), kamera 360-darjah dengan paparan telus 180-darjah, dan banyak lagi.






