PROTON S70 RS BAHARU DIUMUMKAN
Awal hari ini, Proton telah rasmi umumkan sebuah lagi versi baharu bagi model sedan S70. Bakal dilancarkan secara rasmi lewat bulan ini ialah Proton S70 RS – versi baharu yang tampil dengan penggayaan yang lebih sporty dan agresif.
Menurut proton, moniker ‘RS’ bagi varsi sedan berasaskan Geely Emgrand ini bermaksud ‘Refined Sportiness’. Berdasarkan imej teaser yang dikeluarkan jenama nasional tersebut, penggayaan sporty dan agresif baharu ini selari dengan tema moniker tersebut.
Perubahan ketara yang boleh dilihat termasuk rekaan gril beserta bumper hadapan baharu dengan sentuhan sporty dan aksen merah, tambahan skirt sisi bersama rim aloi 17-inci hitam rekaan baharu dan angkup brek merah, manakala profil belakang diberi rekaan bumper baharu yang dipadan dengan elemen diffuser serta kemasan empat muncung ekzos.
Di bahagian kabin pula, Proton S70 RS tampil dengan kemasan dwi-tona hitam-merah. Sentuhan baharu menarik termasuk aksen merah, rekaan konsol tengah terapung dan motif pencahayaan ambien baharu. Satu penambahbaikan disini ialah ciri Commander Dial dan Automatic Column Shifter baharu.
Dari segi mekanikal, Proton tidak memberi perincian penuh selain pengesahan pecutan 0-100km/j dalam 7.5 saat masih kekal. Proton juga tidak memberi sebarang pentunjuk tentang harga.
Ada kemungkinan motif RS baharu ini akan ditawarkan sebagai pilihan baharu buat S70 versi tren kuasa turbo (Premium dan Flagship), manakala varian tanpa-turbo baharu – Lite dan Prime – mugkin diberi pakej sama dengan sedikit perbezaan.
Tambah Proton lagi, S70 RS baharu ini akan membuat penampilan dalam pertunjukan fesyen dengan kerjasama ‘seorang pereka fesyen tempatan terkenal’ pada 10 November 2026, jam 8.00 malam. Maklumat lanjut berkenaan harga dan lain-lain dijangka akan diumum ketika itu.







