PERUNTUKAN BMW 218 GRAN COUPE M SPORT DITAMBAH DENGAN 50 UNIT LAGI
Rasmi dilancarkan pada bulan Julai lalu, tawaran 2026 BMW 218 Gran Coupe M Sport daripada BMW Group Malaysia kini melihat peruntukannya ditambah dengan 50 unit lagi – hanya 50 unit telah diperuntukkan pada mulanya.
Dipasang secara tempatan (CKD) oleh BMW Group Malaysia di kilang Inokom Kulim, Kedah, tawaran sedan empat-pintu kompak generasi kedua (kod casis: F74) ini tersedia dengan tanda harga RM192,800 (tanpa insurans) atau RM204,800 (tanpa insurans) jika pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) dipilih pembeli.
Berbanding dengan varian BMW 218 Gran Coupe Sport sedia ada, versi M Sport ini tampil dengan beberapa penambahbaikan menarik. Termasuk di sini adalah sistem gantungan adaptif Adaptive M Suspension dengan tahap pelarasan terhad, serta pakej estetik luaran M Sport yang tampil dengan rupa lebih sporty serta agresif.
Selain itu, tambahan utama dalam kabin varian M Sport ini juga termasuk sistem audio premium yang dibekalkan oleh Harman Kardon, paparan head-up display (HUD) baharu khas buat para pemandu, sentuhan estetik kabin M Sport eksklusif yang lebih mewah, serta fungsi-fungsi sambungan canggih.
Dari segi mekanikal, tiada perubahan boleh kami lapor. Seperti dalam varian 218 Gran Coupe Sport yang disebut tadi, varian M Sport baharu ini kongsi enjin 1.5-liter 3-silinder turbo petrol yang menjana 156PS & 230Nm, serta transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan Steptronic.
































