Kembali ke laman Tekan Habis
PRODUK

PANGGILAN SEMULA XPENG X9 DI MALAYSIA DIUMUMKAN UNTUK GANTI SISTEM GANTUNGAN UDARA

20 Aug 2026
PANGGILAN SEMULA XPENG X9 DI MALAYSIA DIUMUMKAN UNTUK GANTI SISTEM GANTUNGAN UDARA
1 / 4

Tawaran EV MPV mewah Xpeng X9, khususnya versi ‘pre-facelift’ yang ditawarkan sebelum ini, kini sedang mengalami panggilan semula (recall). Perkara ini disahkan pengedar jenama tersebut iaitu Bermaz Xpeng melalui sebuah siaran akhbar rasmi.

Panggilan semula ini bertujuan untuk mengganti sistem gantungan udara (air suspension) yang dilengkapi di hadapan casis EV MPV mewah ini yang berkemungkinan menghadapi masalah dengan operasinya dalam keadaan suhu tinggi.

Ini selari dengan laporan media automotif utama di China bulan lepas (Julai) di mana jenama tersebut telah menjalani program panggilan semula yang sama bagi model tersebut. Sebanyak 33,473 unit yang dihasil antara 8 Ogos 2023 hingga 11 Ogos 2025 terlibat.

Bermaz Xpeng tidak menyata jumlah unit yang terjejas di Malaysia. Walaubagaimanapun, bagi unit-unit tempatan yang disahkan terjejas dengan panggilan semula ini, Bermaz Xpeng akan lakukan penggantian penuh, termasuk dengan pemasangan komponen ini, tanpa sebarang caj kepada pemilik.

Penting sekali, perlindungan jaminan atas sistem gantungan udara hadapan yang diganti akan dilanjutkan sehingga 8 tahun atau 160,000KM, bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan. Jaminan ini juga boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya.

Dalam kenyataan yang sama, Bermaz Xpeng berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serantau dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti perkhidmatan sedia untuk panggilan semula ini.

Syarikat itu juga menjelaskan bahawa kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain tidak terjejas – model versi ‘facelift’ yang dilancar pada bulan Jun lepas tidak terlibat.

Untuk butiran lanjut, pemilik boleh menghubungi talian hotline khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603-7627 3883. Pemilik unit yang terjejas pula boleh menjadualkan temu janji dengan pusat servis sah melalui aplikasi mudah alih Xpeng.

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis