PRODUK

PANGGILAN SEMULA CHERY OMODA 5 – LEBIH 8,800 UNIT TERKESAN

14 Oct 2026
PANGGILAN SEMULA CHERY OMODA 5 – LEBIH 8,800 UNIT TERKESAN
1 / 5

Susulan pelaksanaan program panggilan semula terbaru bagi model Chery Omoda 5, Chery Auto Malaysia telah mengeluarkan satu lagi kenyataan rasmi melalui laman media sosial rasminya (Facebook) mengenai isu ini.

Pertama sekali, pengeluar tersebut mengesahkan bahawa sebanyak 8,878 unit model Omoda 5 yang ditawarkannya sebelum ini terlibat dalam panggilan semula terbaru ini. Jumlah tersebut merangkumi dua-dua varian model tersebut (varian C dan H).

Tambah Chery Auto Malaysia lagi, semua unit terlibat layak menerima pemeriksaan dan penggantian komponen secara percuma di pusat servis sah Chery di seluruh negara.

Dalam kenyataan yang sama, Chery Auto Malaysia menegaskan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mempercepatkan penghantaran komponen gantian. Penghantaran pertama telah dibuat dan akan diedarkan ke pusat servis secara berperingkat, tambah pengeluar itu lagi.

Walaupun proses menghubung pemilik terkesan sudah dimulakan, Chery Auto Malaysia juga menggesa pemilik sedia ada Omoda 5 untuk semak penglibatan unit mereka. Pemilik boleh berbuat demikian dengan menghubungi mana-mana pusat servis sah Chery terdekat.

Selain itu, pemilik juga boleh semak secara atas talian melalui laman khas yang disediakan Chery Auto Malaysia di laman web rasminya. Pemilik hanya perlu mengisi maklumat nombor casis (VIN) untuk mengesahkan jika unit mereka terlibat untuk pemeriksaan dan gantian komponen.

Seperti dilaporkan sebelum ini, sebuah kes telah tular di media sosial di mana menunjukkan satu unit Omoda 5 mengalami kegagalan komponen sub-frame gandar belakang (rear axle sub-frame) yang mengakibatkan kerosakan serius.

Masalah ini pernah berlaku dua tahun lepas dengan model yang sama di mana Chery Auto Malaysia telahpun laksanakan program panggilan semula. Pada ketika itu, lebih dari 600 unit model tersebut terlibat dalam panggilan semula pertama ini.

Kembali ke lamanTekan Habis