CHERY LAKSANA PANGGILAN SEMULA BAHARU UNTUK OMODA 5
Di sebalik kemeriahan pelancaran Chery Tiggo Cross Sport Edition baharu lewat minggu lepas, jenama China tersebut dilanda satu masalah baharu melibatkan model Omoda 5 yang ditawarkannya sebelum ini.
Sebuah insiden yang telah tular di media sosial melihat satu unit crossover SUV segmen-B kompak tersebut mengalami masalah kegagalan struktur sub-frame gandar belakangnya yang mengakibat komponen tersebut boleh tercabut dari casis.
Semasa pelancaran Tiggo Cross Sport Edition yang disebut tadi, Tekan Habis sempat berbual bersama sumber dalaman di Chery Auto Malaysia yang telah sahkan unit terjejas itu sudah berada di tangan mereka untuk siasatan. Pada ketika itu, syarikat tersebut belum bersedia dengan maklumat terperinci lagi.
Tetapi, seperti apa yang diumumkan pada hari Ahad, 11 Oktober 2026, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) bagi model tersebut susulan insiden viral ini yang menimbulkan kebimbangan aspek keselamatannya oleh orang ramai.
Sejurus selepas pengumuman itu, Chery Auto Malaysia telah bergegas mengumumkan pelaksanaan kempen panggilan semula (recall) baharu khususnya untuk model Omoda 5 tersebut. Kali ini, kempen itu melibatkan varian C dan H yang dikenal pasti terjejas.
Bagaimanapun, Chery tidak menyata jumlah kenderaan yang terlibat, mahupun komponen khusus yang akan diperiksa atau diganti dalam kenyataan itu. Pada masa sama, Chery juga menjelaskan bahawa semua model keluaran semasa tidak terjejas oleh kempen panggil semula ini.
Apa yang pasti ialah pemilik yang terlibat akan menerima pemeriksaan kenderaan secara menyeluruh, dan sebarang tindakan susulan termasuk penggantian komponen yang diperlukan akan dilakukan tanpa sebarang kos.
Untuk memudahkan urusan pemilik, Chery telah menyediakan kemudahan semakan menggunakan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) menerusi laman web rasminya bagi mengetahui sama ada kenderaan mereka termasuk dalam kempen berkenaan.
Chery turut menggalakkan pemilik Omoda 5 yang mempunyai sebarang kebimbangan mengenai keadaan kenderaan masing-masing untuk mengunjungi pusat servis sah Chery untuk mendapatkan pemeriksaan dan bantuan daripada pasukan teknikal.
Dalam kenyataan yang sama, Chery Auto Malaysia turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan pelanggan kekal sebagai keutamaan syarikat itu.
Bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut tentang kempen panggilan semula ini boleh menghubungi Chery Careline – 03-9388 0888.





