PRODUK

CHERY TIGGO CROSS SPORT EDITION RASMI DILANCAR – DARI RM83,800*

07 Oct 2026
CHERY TIGGO CROSS SPORT EDITION RASMI DILANCAR – DARI RM83,800*
1 / 8

Chery Malaysia telah rasmi perkenalkan satu varian tambahan baharu buat barisan model SUV segmen-B utamanya iaitu Tiggo Cross. Kini, model tersebut tersedia dalam varian Sport Edition.

Varian tersebut ditayangkan Chery Malaysia di IOI City Mall, Putrajaya awal hari ini sempena acara ‘roadshow’ jenama tersebut yang berlangsung di situ minggu ini. Varian tersebut diposisikan di antara varian Tiggo Cross Turbo dan Tiggo Cross Hybrid sedia ada.

Terus ke harga, Tiggo Cross Sport Edition baharu ini ditawarkan pada harga rasmi RM91,800. Untuk perbandingan, varian Tiggo Cross Turbo biasa berharga RM88,800, manakala varian Tiggo Cross Hybrid pula berharga RM99,800.

Walaubagaimanapun, sempena pelancaran rasminya, Chery Malaysia sedang menawar promosi khas di mana harga Tiggo Cross Sport Edition ini bermula dari RM83,800 – potong sebanyak RM5,000 dari varian Tiggo Cross Turbo biasa yang disebut tadi.

Termasuk dalam harga itu adalah pakej lepas jualan yang merangkumi jaminan waranti kenderaan asas 7-tahun atau 150,000KM, jaminan khusus enjin selama 7-tahun atau 150,000KM, serta tawaran kos buruh (labour) servis percuma selama enam kali.

Berasaskan varian Tiggo Cross Turbo, tarikan utama varian Sport Edition baharu ini adalah tambahan ‘front lip’ pada bumper hadapan, ‘rear lip’ pada bumper belakang, serta tambahan lambang Sport Edition pada bonet belakangnya.

Menurut Chery, tambahan estetik ini bertuju untuk memberi gaya yang lebih sporty dan agresif. Selain itu, tiada perubahan mekanikal, serta kemudahan, kemewahan dan pakej keselamatan dari versi Turbo yang ia diasaskan.

Sebagai peringatan, varian Turbo dan Sport Edition baharu ini kongsi nadi 1.5-liter 4-silinder turbo petrol yang menghasil 147PS dan 210Nm untuk memacu roda hadapannya melalui padanan transmisi 6-kelajuan automatik dwi-klac (DCT).

Kelengkapan utama termasuk paparan bersepadu 20.5-inci dengan sokongan Apple CarPay dan Android Auto, pencahayaan ambien kabin, air-cond dwi-zon automatik, tempat duduk pemandu dengan pelarasan elektrik enam hala, pengecas peranti tanpa wayar, dan banyak lagi.

Bagi pakej keselamatan pula, varian Sport Edition ini juga kongsi pakej bantuan pemanduan (ADAS) Tahap 2 sepert varian Turbo sedia ada. Fungsi-fungsi utama yang dilengkapi termasuk ACC, FCW, AEB, LDW & LDP, BSM, RCTA dan AHB.

Dipasang secara tempatan oleh Chery Malaysia melalui Inokom di Kulim, Kedah, Chery Tiggo Cross Sport Edition baharu ini tersedia dalam tiga pilihan warna - Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White.

 

Kembali ke lamanTekan Habis