MAZDA CX-5 GEN KE-3 DILANCAR – 1 VARIAN CBU, RM169,900
Pegimport dan pengedar rasmi jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor telah rasmi melancarkan tawaran crossover SUV Mazda CX-5 generasi ketiga terbaharu sekali awal hari ini.
Buat masa ini, model tersebut ditawarkan dalam satu varian import penuh (CBU) – 2.5G 2WD Premium – pada harga jualan RM169,900 (Semenanjung Malaysia) dan RM172,900 (Malaysia Timur). Termasuk dalam harga tersebut adalah jaminan waranti dan pakej servis percuma selama 5-tahun atau sehingga 100,000KM.
Semasa model ini dipertontonkan di KLIMS 2026 awal tahun ini, kami difahamkan Bermaz Motor sedang memuktamadkan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model ini, dan ia bakal dilancar pada tarikh lain. Sebagai rujukan, CX-5 generasi pertama dan kedua yang ditawarkan sebelum melalui perjalanan CBU ke CKD yang sama juga.
Bagi model generasi baharu ini dalam varian 2.5G 2WD Premium ini, ia dilengkapi nadi 2.5-liter Skyactiv-G 4-silinder petrol yang menghasil 188PS dan 257Nm. Ia dipadankan dengan transmisi SKyactiv-Drive 6-kelajuan automatik serta setup pacuan roda hadapan tradisional.
Menurut Mazda, jenama tersebut telah menambah baik struktur keluli berkekuatan tegangan tinggi untuk meningkatkan ketegaran badan dan ketepatan tindak balas casis. Casis ini turut dilengkapi sistem G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) untuk bantu kawal keseimbangan kenderaan melalui pelarasan tork enjin mengikut input stereng.
Masih di tahap casis lagi dan model generasi ketiga ini juga diberi sistem gantungan (suspesnion) baharu, serta pelbagai perubahan dan penambahbaikan untuk mengurangkan lagi tahap noise, vibration & harshness (NVH) di dalam kabin, sekaligus meningkatkan lagi tahap keselesaan kabin yang juga telah diperluaskan lagi.
Berbanding model generasi kedua sebelum ini, kabin CX-5 generasi ketiga ini menawar tambahan ruang lutut sebanyak 64MM, peningkatan ruang kepala sebanyak 29MM, bukaan pintu yang dilebarkan lagi sebanyak 70MM, serta lantai ruang kargo yang kini dipanjangkan sebanyak 45MM.
Beralih ke kelengkapan, papan pemuka model baharu ini mempunyai paparan meter digital 10.25-inci dan padanan skrin sentuh infotainmen 12.9-inci baharu yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Turut disertai sini adalah port pengecas USB-C dan pengecas peranti tanpa wayar Qi.
Kelengkapan lain yang turut hadir disini termasuk sistem audio 12-speaker premium jenama Bose, pencahayaan kabin ambien dengan tujuh pilihan warna, serta fungsi kamera 360-darjah dengan fungsi ‘See Through View’. Dari segi keselamatan asas, senarainya meliputi enam beg udara beserta sistem ABS dan titik pemasangan ISOFIX.
Pakej ADAS pula merangkumi lampu hadapan LED adaptif, pemantauan titik buta, amaran keluar kenderaan, amaran trafik lintasan hadapan dan belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, bantuan kekal lorong kecemasan, amaran perhatian pemandu, serta pemantauan pemandu.
Turut hadir dalam pakej ADAS ini juga adalah fungsi Mazda Radar Cruise Control dengan sokongan pemanduan dan trafik, dan Smart Brake Support (brek kecemasan autonomi) untuk bahagian hadapan dan belakang.



































