INDUSTRI

LEBIH 1,100 UNIT GWM WEY G9 BUATAN MALAYSIA TELAH DIEKSPORT

23 Oct 2026
LEBIH 1,100 UNIT GWM WEY G9 BUATAN MALAYSIA TELAH DIEKSPORT
1 / 3

Selain melancarkan varian hibrid (HEV) baharu bagi model MPV mewah tenaga baharu Wey G9 awal minggu ini, GWM Malaysia juga telah dedah angka eksport bagi model tersebut yang kini berjumlah lebih dari 1,100 unit.

Seperti ramai sudah tahu, model tersebut dihasilkan oleh EPMB selaku rakan pemasangan tempatan (CKD) kepada GWM Malaysia melalui kilangnya yang terletak di Pegoh, Melaka.

Menerusi kerjasama ini, EPMB telah mula CKD model GWM Haval H6 HEV dahulu pada tahun 2024. Operasi tersebut dikembangkan lewat tahun lepas pada bulan Disember 2025 dengan operasi CKD bagi model GWM Wey G9 Hi4 PHEV.

Justeru, eksport model MPV mewah tersebut ke Thailand telah bermula awal tahun ini pada Januari 2026 sebelum berkembang dengan pasaran Indonesia baru baru ini. Dengan itu, GWM Malaysia telah mengukuhkan peranan dan posisi Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport strategik di pasaran ASEAN bagi jenama GWM.

Pencapaian itu turut mencerminkan perkembangan operasi CKD syarikat berkenaan, dengan jumlah keseluruhan kenderaan GWM yang dipasang di Malaysia kini melepasi 10,000 unit sejak pengeluaran bermula pada Oktober 2024.

Perkembangan itu juga membuktikan keupayaan Malaysia dalam menyokong strategi pertumbuhan serantau syarikat melalui kerjasama dengan rakan CKD seperti EPMB, ulas Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata pencapaian melepasi 10,000 unit pemasangan tempatan menunjukkan kemajuan yang dicapai bersama rakan pembuatan syarikat.

Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, aktiviti CKD turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta penglibatan lebih luas syarikat tempatan dalam rantaian bekalan automotif.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2022, GWM te mengembangkan rangkaian produknya, memperluas jaringan pengedar dan meningkatkan aktiviti pemasangan tempatan.

Dengan pertambahan model kenderaan tenaga baharu serta peluasan pasaran eksport, Malaysia dijangka terus menjadi sebahagian penting daripada strategi GWM untuk mengukuhkan kehadirannya di ASEAN.

Kembali ke lamanTekan Habis