HONDA PCX 160 RASMI TIBA – MYMAP 5-BINTANG, ABS, DARI RM12,998
Barisan model skuter dari Boon Siew Honda (BSH) telah dikembangkan dengan satu tambahan baharu. Rasmi diperkenalkan malam semalam untuk pasaran tempatan oleh syarikat itu ialah 2026 Honda PCX 160 baharu.
Model skuter PCX kini kembali ke pasaran Malaysia – versi yang ditawarkan sebelum ini digugurkan BSH lebih kurang enam tahun lalu. Kini, model tersebut tampil dengan penggayaan baharu yang lebih moden dan sporty, serta kelengkapan yang dinaik taraf.
Dalam barisan skuter sedia ada BSH, tawaran PCX 160 baharu ini diposisikan diantara model Vario 160 dan ADV 160. Model ini ditujukan khas bagi penunggang yang mengutamakan keselesaan, teknologi dan praktikaliti untuk perjalanan harian. Ia juga diberi pengiktirafan MYMAP 5-Bintang.
Bermula dengan spesifikasi mekanikal, PCX 160 kongsi nadi 156.9cc satu-silinder SOHC bersama model ADV 160 dan Vario 160. Selain penyejukan cecair, enjin tersebut dilengkapi setup empat injap dan teknologi kecekapan eSP+ (Enhanced Smart Power Plus) yang juga membawa fungsi ‘Idling Stop-Start (ISS)’.
Dengan output 15.2PS dan 14.1Nm tersedia, nadi ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik ‘pulas-dan-pecut’ – setup agak tipikal untuk skuter sebegini. Setup ini mempunyai tahap kecekapan bahan api cukup tinggi juga di mana BSH mendakwa penggunaan serendah 2.3 liter/100KM (44KM/liter).
Beralih ke kelengkapan casis, sorotan utama termasuk brek cakera tunggal hadapan dan belakang berserta sistem ABS satu saluran (hadapan), sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC), fork hadapan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar yang dilengkapi ‘sub-tank’, dan juga tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter.
Bagi kelengkapan lain pula, PCX 160 ini juga tampil dengan pencahayaan LED-penuh, paparan digital TFT 5-inci yang menawar fungsi sambungan Honda RoadSync, sistem kunci pintar Honda Smart Key, port pengecas peranti USB-C, serta ruang simpanan bawah tempat duduk luas berkapasiti 30 liter.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna (putih dan kelabu), Honda PCX 160 kini tersedia melalui pengedar sah dengan harga asas RM12,998 (tanpa insurans dan kos pendaftaran).
Seperti biasa, harga tersebut termasuk dengan jaminan waranti selama 2-tahun atau 20,000KM.




































