INDUSTRI

EPMB UMUM KERJASAMA BAHARU PEMBUATAN TANGKI BAHAN API PLASTIK PROTON

12 Oct 2026
EPMB UMUM KERJASAMA BAHARU PEMBUATAN TANGKI BAHAN API PLASTIK PROTON
1 / 9

EP Manufacturing Bhd (EPMB) melihat portfolio operasi pembuatan komponen automotif tempatannya berkembang dengan rasminya satu kerjasama baharu bersama sebuah pembekal komponen dari China.

Dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam lewat minggu lepas, EPMB telah memeterai satu kerjasama strategik bersama Hebei Shichang Auto Parts Co. Ltd. (Hebei Shichang), yang sudah terkemuka dalam dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan sistem tangki bahan api plastik (plastic fuel tank systems). Ia juga merupakan pembekal utama komponen tersebut bagi jenama kenderaan seperti Geely, Chery, BYD, SAIC, FAW, Changan dan BAIC.

Pemeteraian pengkongsian diwakili Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan EPMB Ts Mod Seth Sulaiman. Manakala, pihak Hebei Shichang diwakili Pengarah Gao Yongqiang dan Timbalan Pengurus Besar Xu Fei. Turut hadir sebagai saksi adalah Datuk Ir Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Kedua-dua syarikat bakal menubuhkan usahasama (joint-venture) dengan pelaburan sebanyak RM100 juta – di mana EPMB mempunyai kawalan sebanyak 51%, manakala Hebei Shichang pula mengawal 49%.

Bagi fasa pertamanya, sebuah operasi pengeluaran baharu akan dibangunkan EPMB di kilang sedia ada di Batang Kali, Selangor untuk menghasilkan komponen tangki bahan api plastik, dan dijangka bermula pada bulan Mac 2027.

Di dalam ucapannya, Hamidon juga menerangkan bersama dengan Hebei Shichang, kedua-dua rakan kongsi bakal memulakan pengeluaran tangki plastik dengan potensi mencapai 13,500 unit sebulan, ataupun 162,000 unit setahun.

Menjawab soalan dari Tekan Habis, Datuk Abdul Rashid juga berkata tangki plastik ini bakal digunakan dalam model-model Proton di masa hadapan yang berasaskan platform AMA.

Komponen tersebut akan dibekalkan kepada Proton di Tanjong Malim, Perak, untuk dilengkapi dalam model-model berasaskan platform AMA – terutamanya Proton Saga MC3, dan ‘adik-beradik’ baharunya yang dikhabarkan akan tampil tidak lama lagi.

“Dengan gabungan kepakaran teknologi Hebei Shinchang dari China serta keupayaan pembuatan dan rantaian bekalan kami, kami yakin dapat mencapai matlamat pembaharuan teknologi, keupayaan pembuatan dan kerelevanan jangka panjang kami,” ulas Ts Mohd Seth Sulaiman sejurus selepas majlis tandatangan ini.

Menurut EPMB, komponen tangki bahan api ini adalah satu komponen teknikal yang cukup kritikal terhadap prestasi dan keselamatan keseluruhan kenderaan.

Ini kerapa komponen ini perlu dibina dengan kemampuan menahan tekanan tinggi, dan ini dicapai melalui proses pembuatan canggih yang dikenali sebagai proses pembinaan plastik berbilang lapisan (multi-layer plastic construction).

“Kami percaya kerjasama ini akan memacu transformasi yang ketara dalam perniagaan komponen kami, serta menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan komponen yang sangat setempat di Malaysia,” tambah Ts Mohd Seth lagi.

Kembali ke lamanTekan Habis