Kembali ke laman Tekan Habis
INDUSTRI

KILANG KOMPONEN CASIS PEPS SANLY JV DIRASMIKAN - KAPASITI 480,000 SET KERETA SETAHUN

19 Aug 2026
KILANG KOMPONEN CASIS PEPS SANLY JV DIRASMIKAN - KAPASITI 480,000 SET KERETA SETAHUN
1 / 7

EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan pembukaan rasmi kilang pemasangan komponen casis baharu, yang akan mula memasang modul front corner, modul subframe dan modul gandar belakang (rear axle) untuk model AMA01, Persona dan Iriz, serta model AMA02 dan AMA05 keluaran PROTON yang akan datang.

Kilang pemasangan ini merupakan hasil usahasama di antara EPMB dan Sanly Auto Parts Co Ltd (Sanly China) dan bernaung di bawah syarikat Peps Sanly JV Sdn Bhd. 

Majlis perasmian disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee, semalam.

Tinjauan Tekan Habis di dalam kawasan kilang mendapati kilang ini dilengkapi dengan peralatan lengkap semi automatik seperti sistem penghantaran automatik (automatic conveyor system), jig pemasangan automatik serta peralatan pemasangan seperti perengkuh kilas pintar (smart torque wrench) yang membolehkan pemasangan dibuat menepati spesifikasi yang ditetapkan. Mesin pengangkat (lifter) separa automatik juga ditempatkan di penghujung barisan pemasangan (assembly line) bagi memastikan kualiti komponen terjamin semasa penghantaran.

Walaupun fasiliti ini dibangunkan dengan pelaburan hanya RM9.5 juta, ianya telah mula beroperasi pada Oktober 2025 dan mempunyai kebolehan menghasilkan sehingga 480,000 set kereta setahun, atau 40,000 set sebulan. 

Satu perkara menarik yang dibangkitkan Pengerusi EPMB, Hamidon Abdullah adalah kepentingan penyerapan teknologi kepada pengeluar komponen susulan daripada perkongsian dengan syarikat-syarikat dari negara China, hasil daripada perkongsian Proton dengan Geely.

“Projek ini adalah tentang menggabungkan dua ekosistem automotif (Malaysia dan China). China mempunyai rantaian bekalan automotif yang mendalam dan bergerak paling pantas. Malaysia pula mempunyai lebih empat dekad pengalaman pembuatan automotif. Kita mempunyai jurutera, vendor, infrastruktur, mesin, perkakas dan robotik. Teknologi ini perlu dibawa ke sini untuk diserap dan dipelajari, dan dijadikan keupayaan itu milik Malaysia”. kata Hamidon di dalam ucapan perasmiannya.

Naib Presiden, Bahagian Projek Strategik PROTON, Ainol Azmil berkata PROTON telah memudahcarakan 10 perkongsian di antara syarikat tempatan dan global, dengan 5 perkongsian menunggu SOP dan 1 di peringkat perancangan.
 

Facebook WhatsApp X
Kembali ke laman Tekan Habis