EMOS PERKENALKAN KAWASAKI NINJA H2 CARBON & NINJA ZX-10RR
Sempena acara MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) – rasmi dikenali sebagai Petronas Grand Prix of Malaysia – yang berlangsung hujung minggu ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah rasmi perkenalkan dua model prestasi ultra-tinggi dari jenama Kawasaki yang diedarnya.
Rasmi dipertontonkan di ruang pamerannya di Mall Area litar tersebut semalam adalah Kawasaki Ninja H2 Carbon dan Kawasaki Ninja ZX-10RR. Dua-dua model juga telah dipamerkan di ruang pameran syarikat tersebut sepanjang acara MotoGP.
Ninja H2 Carbon
Bermula dengan Ninja H2 Carbon, model prestasi terunggul yang dihasilkan mengguna pelbagai kepakaran kumpulan Kawasaki Heavy Industries Group ini telah diberi beberapa kemaskini dan penambahbaikan kecil untuk versi model tahun 2026 terbaharunya.
Namun begitu, model tersebut kekal dengan nadi 998cc 4-silinder yang dilengkapi supercharger untuk menjana 231PS pada 11,500RPM (atau 243PS dengan kesan Ram Air), serta 142Nm daya tork. Dengan ini, model tersebut berdiri sebagai salah satu motosikal terpantas di dunia.
Prestasi tersebut dibantu dengan rekaan fairing aerodinamik yang ditala mengguna terowong udara (wind tunnel) dan juga dibina mengguna gentian karbon (carbon fibre) supaya ia kekal ringan. Lengkap di sini juga adalah pelbagai sistem batuan tunggangan elektronik canggih.
Turut dilengkapi juga adalah pelbagai peralatan casis prestasi tinggi. Ini termasuk sistem gantungan boleh laras serta sistem brek prestasi tinggi yang masing-masing dibekalkan oleh jenama pakar Öhlins dan Brembo, dan banyak lagi.
Kini, tempahan untuk model prestasi ultra-tinggi ini sudah dibuka secara rasmi melalui EMOS pada harga asas RM199,900 (tanpa insurans).
Ninja ZX-10RR
Beralih ke model Kawasaki Ninja ZX-10RR pula, model ini tampil sebagai versi terhad khas berdasarkan model superbike Ninja ZX-10R yang telah dilancarkan EMOS semasa Malaysia Bike Show 2026 awal tahun ini.
Varian ini dibina sebagai versi khas untuk menepati syarat pertandingan kejuaraan World Superbikes Championship (WSBK) dimana pengeluar harus membina sekurang-kurangnya 500 unit versi jentera perlumbaannya yang sah untuk kegunaan jalanraya.
Dengan itu, varian ini tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang mencerminkan jentera yang ditandingkan dalam WSBK. Ini termasuk rekaan fairing aerodinamik baharu beserta winglet, sistem gantungan perlumbaan Öhlins, dan sistem brek prestasi tinggi Brembo.
Selain itu, nadi 998cc DOHC 4-silinder yang digunakan varian ini juga dibina mengguna pelbagai komponen khas yang lebih ringan seperti piston beserti pin salutan DLC, con-rod (titanium), dan camshaft (chromoly). Hasilnya ialah output setinggi 207PS dan 112Nm.
Terhad di seluruh dunia kepada 500 unit sahaja tahun ini, EMOS tidak menjelaskan berapa unit telah diperuntukkan untuk pasaran tempatan Malaysia. Walaubagaimanapun, tempahan boleh dibuat melalui EMOS pada harga asas RM169,900 (tanpa insurans).
Lanjutan Program Z15GT Care Hingga Disember
Pada masa yang sama, pihak syarikat induk EMOS iaitu jenama motosikal nasional Modenas juga ambil kesempatan mengumum lanjutan program lepas-jualan khas Z15GT Care. Dilancarkan pada bulan Julai lalu, program ini ditjukan khas pada pemilik model supercub Modenas Z15GT.
Modenas telah lanjutkan program ini sehingga akhir Oktober pada mulanya, tetapi jenama tersebut kini telah melanjutkan lagi program tersebut sehingga 31 Disember 2026. Anda boleh baca laporan awal kami untuk butiran lanjut tentang program khas ini.



















