C&C BUKA BILIK PAMERAN LEAPMOTOR DI SETIA ALAM
Jaringan pusat jualan jenama Leapmotor yang dikendalikan Cycle & Carriage (C&C) telah berkembang lagi bulan ini. Lewat minggu lepas, syarikat tempatan itu telah rasmi membuka sebuah lagi cawangan bilik pameran jenama tersebut yang terletak di Setia Alam, Selangor.
Cawangan terbaru ini merupakan pusat jenama Leapmotor ketujuh yang didirikan oleh C&C semenjak ia dilantik sebagai pengedar utama bagi jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) premium tersebut oleh Stellantis Malaysia pada bulan Jun lalu.
Dalam siaran akhbar rasminya, C&C berkata cawangan tersebut mempunyai sebuah bilik pamerah berkeluasan 3,570 kaki persegi yang mampu menempatkan sehingga empat kenderaan serentak. Ia juga menyediakan sebua ruang istirehat dan kemudahan untuk pengunjung mendapatkan maklumat teknologi serta tawaran terkini dari Leapmotor.
Bilik pameran baharu itu terletak di Unit 23-1, Setia Avenue, Jalan Setia Prima S U13/S, Setia Alam dan beroperasi setiap hari dari jam 8AM hingga 6PM.
Menurut Adrian Short, Ketua Pegawai Eksekutif C&C Malaysia, pembukaan bilik pameran baharu ini memperkukuh lagi usaha syarikat tersebut mendekatkan jenama berkenaan kepada pelanggan.
Selain bilik pameran baharu ini di Setia Alam, rangkaian pusat jualan jenama Leapmotor yang dikendali C&C juga termasuk Plaza 33 Petaling Jaya, Pavilion Bukit Jalil dan Paradigm Mall Johor Bahru, serta pusat 3S di Glenmarie, Johor Bahru dan George Town.
Barisan model Leapmotor pula kini menrangkumi dua model crossover SUV elektrik penuh (EV) iaitu C10 dan B10. Dua-dua tawaran ini juga kini dihasilkan Stellantis Malaysia melalui kilang pemasangan tempatan (CKD) miliknya di Gurun, Kedah.



